KDN pelawa pakar, masyarakat sivil kemuka pendekatan urus pelarian
- Redzuan Shamsudin

- 24 hours ago
- 2 min read

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengalu-alukan penglibatan pelbagai pihak termasuk ahli akademik, aktivis masyarakat sivil dan pakar keselamatan untuk mengemukakan cadangan berhubung pengurusan pelarian di Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, isu pelarian telahpun berlarutan sejak beberapa dekad lamanya, namun Kerajaan MADANI akan berusaha untuk menagatasinya dengan sebaik mungkin.
"Isu ini bukan isu baharu. Ia merupakan isu legasi yang telah berlarutan dan diwarisi merentasi pelbagai pentadbiran. Namun, hakikat bahawa ia adalah isu legasi tidak pernah dijadikan alasan untuk kerajaan berpeluk tubuh atau mengelak daripada bertindak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, dalam isu yang banyak diperkatakan seperti pelarian Rohingya yang meminta perlindungan di Malaysia, Kerajaan ketika ini mengambil pendekatan berasaskan fakta dan tanggungjawab, dengan keutamaan memastikan keselamatan negara terus terpelihara di samping mengambil kira realiti kemanusiaan.
"Dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, keutamaan kami tetap jelas iaitu memastikan keselamatan rakyat dan negara terus terpelihara, di samping mengambil kira realiti kemanusiaan yang wujud," ujarnya.
Saifuddin menjelaskan bahawa antara cabaran utama yang dihadapi sebelum ini adalah ketiadaan data lengkap dan tepat mengenai pelarian yang berada di dalam negara.
Oleh itu katanya, kerajaan kini sedang melaksanakan pengumpulan data dan maklumat biometrik secara lebih menyeluruh bagi memperkukuh keupayaan pengurusan pelarian.
"Data yang tepat akan membolehkan kerajaan mengurus pelbagai isu yang berbangkit dengan lebih berkesan, sama ada dari sudut keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, kesihatan awam, pekerjaan mahupun kesejahteraan masyarakat setempat," katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa status pelarian tidak memberikan kekebalan daripada tindakan undang-undang kepada mana mana individu pelarian.
Tambah beliau, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan negara dan tidak akan melindungi pelaku jenayah.
"Apa yang sedang kita lakukan ialah memastikan Kerajaan Malaysia mempunyai keupayaan yang lebih baik untuk mengurus satu realiti yang telah lama wujud dalam negara.
"Matlamatnya bukan untuk melindungi pelarian, tetapi untuk melindungi kepentingan negara, keselamatan rakyat dan ketenteraman awam."
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar membincangkan isu pelarian, terutama Rohingya yang menjadi pencetus kemarahan massa pada waktu ini, secara matang dan rasional demi kepentingan negara.
"Saya percaya rakyat Malaysia mampu membincangkan isu ini secara matang, rasional dan bertanggungjawab demi kepentingan negara yang kita cintai bersama," katanya lagi.




Comments