Belanjawan 'gula gula': Apa cadangan MB Sanusi bantu rakyat?


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi menjadi sasaran kritikan apabila menyifatkan Belanjawan 2027 sebagai bajet ‘gula-gula’ yang didakwa bertujuan memancing sokongan rakyat.
Membidas kenyataan itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail berkata pemimpin seharusnya tampil dengan cadangan penyelesaian yang konkrit bagi menangani masalah rakyat, bukannya sekadar mengkritik setiap inisiatif kerajaan tanpa mengemukakan alternatif yang lebih baik.
Katanya, pemberian bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), kenaikan gaji minimum dan pelaburan dalam pendidikan perlu dinilai berdasarkan manfaat serta keberkesanannya.
"Kalau ada kelemahan, kita tegur. Kalau pelaksanaan tak menjadi, kita minta baiki. Bukan terus nak cop semua benda sebagai 'gula-gula'.
"Kalau kerajaan bantu rakyat, dikatakan nak pancing undi. Kalau kerajaan tak bantu, nanti rakyat pula dituduh tak bersyukur. Takkan semua usaha nak ringankan beban rakyat pun nak dipolitikkan?
"Bila kerajaan umum bantuan untuk rakyat, kata gula-gula politik. Bila gaji minimum nak dinaikkan, bimbang majikan terbeban. Bila projek pembangunan diteruskan, kata bukan projek baharu.
"Jadi saya nak tanya Sanusi, kalau semua benda tak kena di mata beliau, apa cadangan yang lebih baik untuk rakyat?" tanyanya dalam satu kenyataan.
Dalam konteks pembangunan Kedah yang terkenal dengan jolokan negeri Jelapang Padi, Fitri berkata negeri itu sememangnya memerlukan lebih banyak peruntukan pembangunan dan peluang ekonomi bagi merancakkan pertumbuhan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, pembangunan pelancongan Langkawi perlu terus diperkasakan, isu banjir ditangani secara tuntas, sistem pengairan pesawah ditambah baik, manakala anak muda Kedah perlu diberikan lebih banyak peluang pekerjaan dengan kadar gaji yang setimpal.
"Tapi Sanusi kena faham, projek sambungan bukan bermakna projek tak berguna. Yang penting, apabila projek itu nak siap, berapa ramai rakyat dapat manfaat dan apa hasil yang kerajaan boleh tunjuk.
"Kalau projek tebatan banjir masih tak selesai, tunjuk kawasan mana yang bermasalah dan apa tindakan seterusnya. Kalau pesawah masih berdepan masalah pengairan, bentangkan pelan penyelesaian.
"Kalau Langkawi perlukan lebih ramai pelancong untuk berbelanja (di pulau peranginan itu), kemukakan strategi yang jelas untuk bantu peniaga tempatan.
"Jangan 'dok' senaraikan apa yang Kerajaan Persekutuan tak bagi. Bentangkan sekali apa yang Kerajaan Negeri nak buat, apa sasaran yang ditetapkan dan bila rakyat boleh nampak hasilnya," ujarnya.
Fitri yang juga Ketua AMK Merbok berkata, kritikan terhadap kerajaan perlu berasaskan fakta dan disertai cadangan penyelesaian yang konkrit, termasuk mengemukakan keperluan pembangunan Kedah.
"Kalau rasa Kedah tak dapat pembangunan yang cukup, tunjukkan keperluan dan kemukakan pelan yang boleh dilaksanakan.
"Rakyat bukan nak tengok pemimpin berlumba-lumba mengeluarkan kenyataan. Rakyat nak tengok masalah selesai, pendapatan meningkat dan kehidupan depa bertambah baik.
"Buat Sanusi, jawatan pemimpin ini (adalah) amanah (dan) bukan sekadar peluang untuk menyerang pihak lain.
"Kerajaan Persekutuan kena tunjuk hasil, kerajaan negeri pun kena tunjuk hasil. Mana-mana pihak yang ada kekurangan, rakyat berhak tegur," tempelak beliau lagi terhadap Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihanraya Pas.




Comments