Program Dokumentasi Pelarian tetap tarikh pemisah, sekat kemasukan baharu


Penetapan tarikh pemisah bermula Januari 2023 bagi Program Dokumentasi Pelarian (DPP) akan menghalang mekanisme pendaftaran itu menjadi faktor tarikan kepada kemasukan baharu pelarian ke Malaysia, demikian kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata kerajaan menetapkan individu yang memasuki negara ini selepas tarikh berkenaan tidak akan diberi peluang untuk dipertimbangkan di bawah DPP sekali gus mengehadkan pendaftaran kepada mereka yang sudah berada di Malaysia sebelum tarikh pemisah itu.
"Apakah DPP akan menjadi pull factor? Oleh itu, kita ada cut-off date dia. Bermula kita umumkan DPP sebagai satu mekanisme pendaftaran. Cut-off date kita, Januari 2023 masa kita umumkan, mana-mana yang masuk selepas itu, mereka tidak akan diberikan peluang untuk kita pertimbangkan di bawah DPP.
"Kita proses yang sedia ada. Kalau tak jadi pull factor yang disampaikan oleh Yang Berhormat. Sudah barang pasti perkara itu akan berlaku," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin [PN-Putrajaya] di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin berkata pelaksanaan DPP bertujuan membolehkan kerajaan membangunkan pangkalan data pelarian yang lebih menyeluruh dan boleh dipercayai memandangkan maklumat sedia ada daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) belum memberikan gambaran lengkap yang diperlukan kerajaan untuk tujuan keselamatan dan penggubalan dasar.
Menurut beliau, UNHCR menganggarkan terdapat kira-kira 225,000 pelarian di Malaysia namun kerajaan memerlukan maklumat terperinci seperti nama, umur, jantina, lokasi keberadaan serta hasil tapisan keselamatan bagi mengenal pasti individu terbabit.
Tambah beliau, isu pelarian di Malaysia turut berkait dengan amalan sesetengah individu yang memasuki negara ini terlebih dahulu menggunakan pasport sebagai pelancong atau pas lawatan sosial sebelum memohon status pelarian melalui UNHCR.
Menurutnya proses permohonan secara dalam talian yang dibuka UNHCR membolehkan individu dari pelbagai negara memohon status pelarian ketika berada di negara asal masing-masing.
Namun jelas beliau, ada antara mereka yang datang ke Malaysia sebelum keputusan permohonan diputuskan.
"Belum pun UNHCR di Kuala Lumpur buat keputusan terhadap permohonan, dia datang dulu sebagai pelancong, (guna) pas sosial," katanya ketika menjelaskan cabaran yang dihadapi kerajaan dalam menguruskan isu pelarian.
Beliau berkata keadaan itu menunjukkan pengurusan pelarian bukan sekadar melibatkan mereka yang sudah berada di Malaysia tetapi turut memerlukan perhatian terhadap faktor yang mendorong kemasukan mereka ke negara ini.
Justeru itu katanya penetapan tarikh pemisah DPP dianggap penting bagi mengelakkan mekanisme pendaftaran kerajaan disalah tafsir sebagai peluang untuk mendapatkan pengiktirafan selepas memasuki Malaysia.
Pangkalan data pelarian
Saifuddin berkata kerajaan memerlukan pangkalan data sendiri yang lebih menyeluruh bagi melengkapkan maklumat sedia ada daripada UNHCR.
Justeru itu, katanya DPP merangkumi proses pengumpulan data, tapisan polis dan imigresen serta penggunaan sistem biometrik bagi menghasilkan rekod yang lebih sahih.
"Data ini adalah satu instrumen keselamatan. Ia bukan hanya sekadar pangkalan data. Dari situ, kita boleh buat satu dasar awam," katanya.
Beliau berkata kerajaan menyasarkan pendaftaran kira-kira 6,000 individu pada tahun ini merangkumi 4,010 orang yang berada di depot tahanan imigresen dan 2,000 individu di luar depot sebelum meningkatkan sasaran kepada 20,000 pada tahun depan.
Saifuddin berkata kerajaan juga sedang meneliti kemungkinan memanfaatkan data DPP bagi membantu memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor ekonomi tertentu tertakluk kepada tapisan dan keputusan dasar kerajaan.
Beliau memberi contoh keperluan pekerja dalam sektor perladangan, pertanian, pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan yang ketika ini turut bergantung pada pengambilan pekerja asing.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pendaftaran menerusi DPP perlu dilihat sebagai usaha membina pangkalan data yang boleh membantu kerajaan mengurus isu pelarian secara lebih teratur, bukannya penyelesaian muktamad terhadap keseluruhan masalah berkenaan.
Terdahulu menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau), Saifuddin berkata isu pelarian Rohingya turut dibincangkan dalam pertemuan dua hala antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Presiden Myanmar.
Menurutnya Myanmar bersetuju menerima penghantaran pulang rakyatnya daripada semua etnik dengan kos ditanggung negara itu sendiri selain bersetuju bekerjasama dalam proses tapisan bagi mengenal pasti warga Myanmar yang berada di Malaysia.
Beliau berkata kerjasama itu akan dilaksanakan melalui hubungan antara pihak berkuasa kedua-dua negara termasuk menggunakan mekanisme ASEAN bagi mencari penyelesaian terhadap isu pelarian dari Myanmar.
"Penyelesaian yang paling mudah adalah diterima untuk mereka dibawa balik. Itu mekanisme ASEAN yang telah kita bincangkan dalam pertemuan semasa lawatan tempoh hari," katanya.




Comments