top of page

Perkataan ‘lighad’ dalam al Quran tidak boleh jadi bahan sindiran

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
1 hour ago
2 min read

Kontroversi permainan kata yang mengaitkan perkataan ‘lighad’ dengan maksud tertentu oleh Lim Sian See terus menjadi perhatian apabila bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tampil mempertahankan tindakan itu.


Ketua Komunikasi KEADILAN Sri Gading, Mohd Nasrul Syafiq Rosli (gambar) berkata, hal itu sekali gus mencetuskan persoalan mengenai konsistensi Pas dalam memperjuangkan sensitiviti agama.


Beliau berkata, ketika membentangkan Belanjawan 2027, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memetik maksud ayat berkenaan.


“...dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (lighad).


"Ayat itu membawa peringatan yang jelas kepada manusia supaya menilai amalan sendiri dan mempersiapkan diri untuk masa hadapan.


"Perkataan lighad bukan kesalahan ejaan, sebaliknya perkataan Arab yang membawa maksud ‘untuk hari esok’.


"Namun, Lim Sian See kemudiannya mengaitkan perkataan tersebut dengan ‘liwat’ sebagai bahan sindiran. Tindakan itu wajar dikritik kerana ia mengalihkan perhatian daripada mesej al-Quran kepada permainan kata yang berunsur seksual," katanya dalam satu kenyataan.


Mohd Nasrul berkata, mengkritik Perdana Menteri merupakan hak sesiapa sahaja tetapi menjadikan petikan ayat al-Quran sebagai bahan sindiran bukanlah ukuran kematangan dalam politik.


Prinsip mempertahankan agama


Beliau menegaskan, jika tidak bersetuju dengan ucapan atau dasar kerajaan, kemukakan dengan hujah dan fakta.


"Jangan sampai usaha mencari bahan untuk menyindir menyebabkan sensitiviti terhadap teks suci diketepikan.


"Lebih mengecewakan, Nik Abduh tampil menyatakan bahawa Eric tidak salah, sebaliknya berlaku salah faham akibat ‘perangkap ceplos’, sebelum menulis, ‘Teruskan memburu’.


"Persoalannya, apakah yang sebenarnya sedang dipertahankan? Adakah Nik Abduh sekadar menjelaskan maksud sindiran tersebut, atau beliau turut menganggap pendekatan menjadikan perkataan daripada ayat al-Quran sebagai permainan kata berunsur seksual itu sesuatu yang boleh diterima?


"Kita tidak mempertikaikan hak Nik Abduh untuk memberikan pandangan, namun apabila beliau memilih untuk mempertahankan tindakan tersebut, beliau juga perlu bersedia menjawab persoalan tentang kewajaran dan sensitiviti di sebalik sindiran berkenaan," ujarnya lagi.


Mohd Nasrul mengingatkan bahawa prinsip mempertahankan agama perlu ditegakkan secara konsisten, bukan hanya lantang apabila pihak lawan melakukan sesuatu yang menimbulkan kontroversi, tetapi menjadi lunak apabila individu yang 'satu kem' melakukan perkara yang menimbulkan persoalan sama.


"Di sinilah timbul persoalan tentang konsistensi Pas. Sekiranya seorang pemimpin DAP menggunakan petikan ayat al-Quran untuk menghasilkan permainan kata yang sama, adakah Pas akan memberikan reaksi yang serupa?


"Adakah ia juga akan dianggap sekadar salah faham, atau akan disusuli kecaman bahawa agama sedang dipermainkan?


"Jika Pas mahu dilihat sebagai parti yang benar-benar konsisten mempertahankan sensitiviti Islam, jawapannya tidak sepatutnya bergantung pada identiti atau kecenderungan politik individu yang terlibat," bidas beliau lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page