top of page

Monsun Timur Laut bermula hujung Oktober, risiko banjir, cuaca ekstrem

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
48 minutes ago
2 min read

Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 dijangka bermula pada penghujung Oktober ini hingga pertengahan Mac tahun depan dengan risiko hujan lebat berterusan, banjir dan tanah runtuh sebelum cuaca lebih panas serta kering berpotensi berlaku apabila pengaruh El Niño meningkat.


Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan persediaan menghadapi musim monsun kali ini perlu mengambil kira perubahan corak cuaca termasuk kemungkinan kejadian hujan ekstrem pada fasa awal monsun serta peningkatan risiko gelombang haba, kemarau dan jerebu setempat pada awal tahun depan.


"Hujan lebat lazimnya tertumpu di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, timur Sabah dan barat Sarawak sepanjang MTL sekali gus meningkatkan risiko bencana yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk serta aktiviti ekonomi.


"Kesiapsiagaan menghadapi MTL kali ini turut mengambil kira fenomena El Nino dijangka menguat menjelang penghujung tahun 2028 yang boleh mempengaruhi corak cuaca dan taburan hujan negara sepanjang musim berkenaan," katanya dalam kenyataan sempena Forum Iklim Kebangsaan (FIK) 2026 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor hari ini.


MET Malaysia menjangka hujan lebat ekstrem melebihi 150 milimeter sehari masih boleh berlaku pada fasa awal MTL dengan dua hingga tiga kejadian berpotensi melanda negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan satu hingga dua kejadian di selatan Sarawak.


"Berdasarkan rekod, walaupun El Nino kuat lazimnya membawa keadaan lebih panas dan kering, fenomena ini tidak bermakna negara akan mengalami cuaca kering sepanjang masa," ujarnya.


Jelas MetMalaysia, pengaruh El Nino dijangka menjadi lebih signifikan sebaik memasuki Januari depan dengan keadaan lebih panas dan kering di kebanyakan tempat.


Situasi itu berpotensi meningkatkan risiko gelombang haba, kemarau serta jerebu setempat sekiranya berlaku pembakaran terbuka atau kebakaran hutan, kata agensi ramalan cuaca itu.


Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon dipetik sebagai berkata kesiapsiagaan yang dilaksanakan hari ini akan menentukan tahap keselamatan, kesejahteraan dan ketahanan negara pada masa hadapan.


"Perubahan corak cuaca dan iklim yang semakin tidak menentu memerlukan pendekatan bersepadu serta tindakan awal bagi menghadapi pelbagai risiko termasuk cuaca panas melampau, kemarau, hujan ekstrem dan bencana berkaitan cuaca," ujarnya.


FIK 2026 yang bertemakan “Kesiapsiagaan Hari Ini, Ketahanan Masa Hadapan” menghimpunkan lebih 500 peserta daripada kementerian, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institusi akademik dan penyelidikan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media serta komuniti.


Forum itu menjadi platform perkongsian ilmu, penyelidikan dan kepakaran untuk memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi cuaca ekstrem, perubahan iklim dan risiko bencana.


Dalam perkembangan berkaitan, METMalaysia melancarkan aplikasi myCuaca 3.0 yang dilengkapi beberapa penambahbaikan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat cuaca dan amaran awal bencana.


Antara ciri baharu aplikasi itu ialah antara muka yang lebih mudah digunakan, paparan imej radar dan satelit cuaca yang lebih interaktif serta notifikasi cuaca masa nyata.


Aplikasi berkenaan turut menyediakan maklumat berkaitan gempa bumi dan amaran awal bencana.


MET Malaysia berkata pelancaran myCuaca 3.0 mencerminkan usaha agensi itu memanfaatkan teknologi digital dan Revolusi Industri 4.0 bagi memperkukuh sistem amaran awal selaras dengan aspirasi global “Early Warnings for All” yang diterajui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO).


"MET Malaysia menyeru orang ramai dan semua pihak berkepentingan supaya meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi MTL 2026/2027, termasuk mengikuti perkembangan cuaca dan amaran rasmi bagi mengurangkan risiko serta kesan bencana," ujarnya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page