Gaji minimum RM2,000 perlu diiringi perlindungan pekerja, sokongan PMKS


Kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 perlu disertai penguatkuasaan berkesan, sokongan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta perlindungan peluang pekerjaan bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dinikmati rakyat.
Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata langkah itu dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja di seluruh negara sekali gus meningkatkan kuasa beli rakyat dan merapatkan jurang antara pertumbuhan ekonomi dengan pendapatan isi rumah.
"Ini merupakan langkah penting untuk mengangkat maruah pekerja, memperkukuh kuasa beli rakyat dan merapatkan jurang antara pertumbuhan ekonomi dengan pendapatan isi rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Yahya berpandangan pelaksanaan dasar gaji minimum itu perlu mengambil kira kemampuan PMKS menyesuaikan kos operasi, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh aliran tunai khususnya bagi perniagaan berskala kecil.
Sehubungan itu, jelas beliau pengecualian sementara kepada PMKS dengan hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta perlu dilaksanakan secara telus, bersyarat dan mempunyai hala tuju yang jelas.

Menurut beliau, kerajaan perlu memperincikan tempoh pengecualian, kriteria kelayakan serta mekanisme peralihan bagi memastikan kepentingan majikan terus terpelihara tanpa menjejaskan hak pekerja.
Beliau turut menegaskan kemudahan pembiayaan PMKS berjumlah RM57 bilion perlu dapat diakses secara berkesan oleh peniaga kecil dan bukan sekadar menjadi angka dalam dokumen belanjawan.
Katanya sokongan pembiayaan perlu bergerak seiring dengan bantuan pendigitalan, automasi dan latihan kemahiran bagi membantu perusahaan meningkatkan produktiviti serta menyesuaikan diri dengan perubahan struktur upah.
Mohd Yahya turut menyambut baik pengenalan kadar permulaan RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan serta peningkatan penanda aras gaji sara hidup bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kepada RM3,400 sebulan.
Beliau berkata langkah itu perlu menjadi pemangkin kepada pembentukan struktur upah yang lebih adil dengan kadar gaji mengambil kira kemahiran dan produktiviti pekerja.
Dalam pada itu, beliau menggariskan tiga keutamaan yang perlu diberikan perhatian kerajaan iaitu memperkukuh penguatkuasaan gaji minimum, memperluas sokongan kepada PMKS dan memastikan kenaikan gaji membawa perubahan sebenar terhadap taraf hidup rakyat.
Katanya kerajaan juga perlu memantau risiko majikan mengurangkan tenaga kerja, menaikkan harga secara tidak munasabah atau menggantikan pekerja dengan automasi tanpa perancangan peningkatan kemahiran yang sewajarnya.
"Kerajaan perlu memastikan kenaikan gaji tidak mendorong majikan mengurangkan pekerja, meningkatkan harga secara tidak munasabah atau menggantikan pekerjaan manusia tanpa perancangan peningkatan kemahiran," katanya.
Beliau menegaskan kejayaan Belanjawan MADANI 2027 tidak seharusnya dinilai berdasarkan kenaikan kadar gaji minimum semata-mata.
Sebaliknya jelasnya ia menilai keupayaan pekerja menikmati kehidupan lebih bermaruah, PMKS terus bertahan dan berkembang serta golongan muda memperoleh pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan mereka.
"Gaji yang adil mengangkat maruah pekerja. PMKS yang kukuh menggerakkan ekonomi. Dasar yang seimbang memastikan kemakmuran dinikmati bersama.
"Inilah semangat Waad Nasional yang perlu diterjemahkan daripada pengumuman kepada hasil yang benar-benar dirasai rakyat," katanya.




Comments