Kawal jual arak lebih ketat, percepat pelaksanaan diyat - Daie MADANI
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 2 min read

Gerakan Daie MADANI menggesa kerajaan memperketat kawalan penjualan arak di premis runcit serta mempercepat pelaksanaan sistem diyat bagi menjamin keadilan kepada waris mangsa kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk.
Dalam satu kenyataan, Daie MADANI menegaskan bahawa isu kehilangan nyawa akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah tidak boleh lagi dikompromi.
Menurut mereka, kejadian terbaharu di Klang yang melibatkan kematian seorang penunggang motosikal akibat dirempuh pemandu positif alkohol dan dadah menunjukkan keperluan mendesak untuk pendekatan lebih berani dan sistematik.
"Waris mangsa terpaksa menanggung kehilangan yang tidak ternilai, sementara pesalah berhadapan hukuman yang boleh dikatakan ramai pihak menganggap masih tidak setimpal," kata kenyataan itu.
Daie MADANI berpandangan punca utama masalah tersebut termasuklah ketersediaan arak secara terbuka di kedai runcit, kedai serbaneka dan premis 24 jam, khususnya di kawasan perumahan.
"Ketersediaan arak secara terbuka di kedai runcit, kedai serbaneka, dan premis 24-jam di kawasan perumahan adalah antara faktor utama yang memudahkan pengambilan alkohol secara berleluasa sebelum memandu," kata mereka.
Sebagai perbandingan, gerakan itu merujuk amalan kawalan ketat di Australia yang melarang penjualan arak bawa pulang pada hari-hari tertentu demi keselamatan awam.
"Australia menguatkuasakan kawalan ketat di mana penjualan arak bawa balik (packaged liquor) dilarang sepenuhnya pada hari-hari tertentu seperti Good Friday dan Krismas.
"Jika sebuah negara yang tidak menjadikan agama Islam sebagai agama Persekutuan pun mampu melaksanakan kawalan sedemikian demi keselamatan awam, Malaysia yang berpaksikan nilai Islam dan prinsip MADANI sudah semestinya mampu melangkah lebih jauh," katanya.
Dalam masa sama, Daei MADANI menyokong beberapa langkah yang telah diambil kerajaan termasuk perbincangan meja bulat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dipengerusikan oleh Dr Zulkifli Hasan bagi meneliti pelaksanaan sistem diyat sebagai pampasan berasaskan syariah.
Mereka turut menyokong langkah larangan pengambilan arak di kawasan awam seperti di Port Dickson yang boleh dikompaun RM2,000, serta pembekuan pengeluaran lesen baharu penjualan arak oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 2021.
Sehubungan itu, Daie MADANI mengemukakan beberapa tuntutan termasuk menghadkan penjualan arak di kawasan perumahan dan berhampiran institusi pendidikan, melarang penjualan arak pada waktu larut malam serta menjadikan dasar pembekuan lesen runcit sebagai polisi kebangsaan.
"Kami juga mendesak Perdana Menteri untuk memastikan setiap kementerian dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, dan pihak berkuasa tempatan bekerjasama secara bersepadu dalam menangani isu ini.
"Kawalan arak bukan isu agama semata. Ia adalah isu kesihatan awam, keselamatan jalan raya, dan keadilan sosial," kata mereka.
Daie MADANI menegaskan langkah tegas perlu diambil segera bagi memastikan keselamatan masyarakat terus terpelihara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan prinsip Maqasid Syariah.




Comments