Konflik Asia Barat: Pertimbang pakej ransangan fiskal hadapi ketidaktentuan
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Konflik Asia Barat yang sukar diramal bila penghujungnya dan kesan jangka panjang ke atas ekonomi Malaysia memerlukan kerajaan memikirkan untuk membentangkan pakej ransangan fiskal.
Bagi Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee, kerajaan wajar mempertimbang untuk membentangkan pekej rangsangan pra-emptif sebagai persediaan menghadapi kejutan tenaga global berskala sistemik.
Beliau berkata, Parlimen perlu segera membahaskan dan meluluskan lebih awal satu kerangka kontingensi yang merangkumi pencetus subsidi automatik, pengawasan ketat dan klausa penamatan yang jelas.
Katanya, sebarang intervensi mesti melindungi kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan yang menyediakan pekerjaan.

"Mekanisme itu perlu dibina sekarang. Penangguhan akan menukar pertahanan yang dirancang kepada tindakan kecemasan yang tidak tertanggung kosnya.
"Apabila arus ekonomi global mula beralih menentang kita, berdiam diri bukanlah satu pilihan yang mencerminkan kebijaksanaan.
"Kebijaksanaan itu terletak pada keberanian dan kemampuan berpandangan jauh untuk bersiap sedia sebelum gelombang arus ekonomi itu melanda," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Howard yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa, rangsangan fiskal perlu kekal sebagai satu pilihan dasar dan dilihat sebagai tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi.
Beliau berkata, mekanisme bersasar seperti BUDI95 dan rasionalisasi subsidi diesel ketika ini memainkan peranan penting dalam menyerap tekanan awal akibat ketidaktentuan global serta melindungi rakyat.
"Namun, sejujurnya, skala risiko yang mendekati kita sekarang ini bukan calang-calang risiko. Tiada pelan kontingensi sedia ada, sama ada dalam kerajaan atau sektor swasta yang mampu menampung kenaikan kos tenaga sehingga dua, tiga, atau empat kali ganda.
"Lonjakan pada tahap ini merupakan kejutan sistemik. Dalam keadaan begini, rangsangan bukan lagi pilihan dasar biasa. Ia menjadi penstabil makroekonomi terakhir.
"Kita perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lalu tanpa mengabaikan tanggungjawab semasa. Pengalaman krisis global menunjukkan bahawa kelemahan terletak pada pelaksanaan, bukan pada konsep intervensi itu sendiri," ujarnya.
Howard berpendapat, jika menolak terus penggunaan rangsangan fiskal, ia bermakna menghapuskan satu alat penting untuk mengelakkan keruntuhan ekonomi.
Katanya, penyelesaian pertama ialah memperkukuh pelaksanaan melalui penyaluran bersasar bagi menggantikan bantuan menyeluruh, selain meningkatkan kebolehkesanan digital bagi menggantikan sistem yang tidak telus.
"Selain itu, sokongan berasaskan hasil menggantikan perbelanjaan tanpa had.
"Kita memerlukan intervensi yang lebih tepat, bersih, dan bertanggungjawab.
"Apabila ekonomi negara berdepan krisis, keutamaan ialah memastikan tindakan yang berkesan dan sampai kepada pihak yang memerlukan," katanya lagi.




Comments