top of page

Bloomberg tersasar, naratif ‘mafia korporat’ dipersoal: Siapa sebenarnya gelabah?

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 3 min read

Laporan agensi berita antarabangsa Bloomberg yang cuba menggambarkan kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam keadaan tertekan berhubung isu “mafia korporat” disifatkan sebagai naratif berat sebelah yang tidak berpijak pada realiti semasa.


Aktivis Pakatan Harapan, Syam Ghaz menyifatkan ia sebagai cubaan membentuk persepsi negatif terhadap kepimpinan negara.


"Siapalah yang bodoh sangat pergi percaya bulat-bulat cakap Bloomberg kata Anwar Ibrahim ‘bimbang’?


"Nampak sangat Bloomberg dah habis modal," katanya dalam satu hantaran di media sosial.


Syam Ghaz berkata, usaha untuk merosakkan imej Perdana Menteri di mata dunia termasuk dengan mengaitkannya kepada isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebenarnya tidak berjaya.


Sebaliknya, keberkesanan Anwar dalam menguruskan impak harga minyak di tengah tengah konflik Asia Barat melalui subsidi bersasar sudah membuatkan imej beliau dipandang tinggi di mata dunia.


Mengenai Azam Baki, Syam Ghaz berkata, ketua agensi anti-rasuah itu setakat ini tidak dibuktikan terlibat dengan kes rasuah dalam hal pemilikan saham, sebaliknya hanya melibatkan peraturan penjawat awam.


Beliau menjelaskan siasatan sewajarnya dijalankan melalui prosedur siasatan dalaman di bawah Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 termasuk pemberian tempoh 21 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab.

Syam Ghaz
Syam Ghaz

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilaporkan mengesahkan bahawa satu jawatankuasa siasatan khas telah ditubuhkan bagi meneliti isu melibatkan Azam.


Menurut beliau, jawatankuasa itu dianggotai pegawai tertinggi perkhidmatan awam termasuk Peguam Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bagi memastikan siasatan dibuat secara telus, teratur dan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.


Laporan Bloomberg sebelum ini menimbulkan kebimbangan pelabur terhadap dakwaan kewujudan rangkaian “mafia korporat” termasuk kaitan dengan individu dikenali sebagai Victor Chin.


Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini mengesahkan pelaksanaan operasi khas Op Viking yang menyasarkan aktiviti pengubahan wang haram berprofil tinggi.


Operasi itu dilaporkan melibatkan tangkapan beberapa individu termasuk Victor Chin pada Disember lalu sebelum dia dibebaskan kemudiannya atas jaminan polis.


Dalam hal ini, Syam Ghaz menolak naratif agensi berita berpangkalan di New York itu, dengan mendakwa ia sengaja diperbesarkan tanpa mengambil kira tindakan penguatkuasaan yang telah dilakukan.


"Zaman Anwar jadi kerajaan je berani tangkap dia ni… sebelum dia (Victor) dedah kononnya suap RM9 juta lebih tu (kononnya kepada seorang ahli parlimen)," katanya.


Beliau turut menggesa mana-mana pihak yang membuat dakwaan agar mengemukakan bukti lengkap.


"Kalau betul ada penerima duit, dedah sajalah money trail (jejak aliran wang) dan bukti-bukti terperinci, bukan umum (retorik politik) saja."


Dalam nada lebih keras, Syam Ghaz mempersoalkan pembangkang yang didakwanya hanya bersuara selepas tidak lagi berada dalam kerajaan.


Beliau menegaskan, ketika Azam mengetuai SPRM banyak kes berprofil tinggi termasuk membabitkan bekas Perdana Menteri dikenakan tindakan.


Syam juga mempertahankan prestasi Kerajaan Madani dengan merujuk peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International kepada tangga ke-52 berbanding 62/61 pada 2017/2018.


Jelas beliau, pelantikan Azam sebenarnya dilakukan ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum diteruskan PM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dilanjutkan ketika zaman Anwar.


"Masa tu Hadi Awang jadi duta dan Rafizi jadi Menteri Kabinet Anwar," katanya.


"Takkan benda ni tak bincang dalam Kabinet PN dan Perpaduan? Masa mesyuarat Kabinet korang tidur ke? Jadi tunggul kayu? Lepas tak jadi menteri baru nak hentam."


Ujar beliau, perkhidmatan Azam akan tamat pada 12 Mei ini dan beliau sendiri sudah memberikan isyarat tidak mahu lagi disambung kontrak.


"Jadi buat apa nak serang dia? Kecuali ada motif politik sebab dia dah sumbat ramai kes profil tinggi ke penjara," ujarnya.


Kata Syam Ghaz, pentadbiran kerajaan Madani sekarang memberikan fokus kepada pelaksanaan "rule of law" yang sepatutnya diberikan pujian.


Katanya ketika pentadbiran Najib, Mahathir, Muhyiddin, Ismail Sabri, kumpulan mafia korporat tersebut tidak diambil tindakan sebaliknya sekarang, Victor Chin antara 10 individu yang ditangkap.


"Ini kejayaan dan komitmen kerajaan sekarang. Bukti jelas Anwar tak setongkol dengan mana-mana perasuah, yang salah kena hukum, yang dizalimi kita bela," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page