top of page

Harga petrol, diesel: MCMC siasat 5 individu sebar maklumat palsu

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 3 hours ago
  • 1 min read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan terhadap lima individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu berhubung peningkatan harga bahan api petrol dan diesel di platform media sosial.


MCMC memaklumkan, tiga daripada lima suspek telah dipanggil untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan.


"Menurut aduan yang diterima, kandungan yang disebarkan oleh kesemua suspek berkaitan kenaikan harga bahan api petrol dan diesel didapati palsu, mengelirukan serta berpotensi menimbulkan kegelisahan kepada pengguna.


"Hasil semakan lanjut, pihak Buletin TV3 telah mengeluarkan penafian terhadap penerbitan kandungan yang disunting menggunakan identiti visual mereka.


"Susulan itu, pihak MCMC juga telah menerima aduan daripada Buletin TV3 bahawa kandungan palsu yang tular tersebut adalah bukan daripada mereka dan dilakukan oleh pihak ketiga," kata MCMC dalam satu kenyataan.


MCMC berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.


MCMC menegaskan, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.


"Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.


"Orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi bagi memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam," kata suruhanjaya itu lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page