Kaukus Parlimen Malaysia untuk Palestin satukan rakyat pelbagai latar belakang
- Suara Keadilan
- 13 hours ago
- 2 min read

Oleh: Sidiqin Omar
Kejayaan Kaukus Parlimen Malaysia untuk Palestin bukan sahaja mencerminkan pendirian tegas negara terhadap isu kemanusiaan, malah membuktikan keupayaan wakil rakyat menyatukan suara rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang politik, kaum dan agama.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, struktur kaukus yang bersifat longgar dan inklusif yang turut dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang menjadi kekuatan utama gerakan tersebut.
"Kaukus ini satu badan yang longgar, diwakili oleh ahli-ahli Parlimen rentas parti, pembangkang dan kerajaan. Ia tidak terikat dengan struktur rasmi Parlimen dan tidak menerima peruntukan dana khusus.
"Walaupun bergerak tanpa sokongan kewangan, isu Palestin itu sendiri menjadi pemangkin sokongan meluas.
"Disebabkan ini isu Palestin, sokongan itu datang secara semula jadi daripada pelbagai pihak, dan semua ada sumbangan masing-masing," katanya dalam wawancara bersama Suara Keadilan, baru baru ini.
Syed Ibrahim yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, kekuatan sebenar kaukus terletak pada kesepaduan wakil rakyat bukan semata mata sumber dana atau struktur rasmi.
"Kecil atau besar sumbangan itu tidak penting, biarpun kecil tapi ada, dan bagi saya kaukus ini menjadi penyatu kepada ahli-ahli Parlimen," kata Ahli Parlimen Ledang itu.
Beliau berkata, penyertaan Ahli Parlimen daripada pelbagai kaum, agama dan wilayah mencerminkan kematangan politik Malaysia.
"Apabila Ahli-ahli Parlimen daripada pelbagai parti, kaum, Islam dan bukan Islam boleh bersama, ia menggambarkan bahawa dalam isu ini kita bersatu sebagai sebuah negara," ujarnya sambil menambah bahawa di peringkat antarabangsa, suara kolektif Parlimen Malaysia mendapat perhatian dan penghormatan.
"Wakil rakyat dipilih oleh rakyat, jadi apabila isu Palestin dibawa, ia sebenarnya membawa suara rakyat Malaysia, dan itu dipandang tinggi di peringkat global.".
Syed Ibrahim memaklumkan, kaukus tersebut turut mengangkat isu Palestin merujuk kepada penyertaannya dalam beberapa persidangan antarabangsa serta jaringan sokongan serantau termasuk Indonesia, Thailand dan negara-negara ASEAN.
"Peranan kaukus ini bukan terhenti di dalam negara, malah kami perluaskan ke peringkat serantau termasuk Indonesia, Thailand dan beberapa negara ASEAN, sebelum membawa suara bersama itu ke peringkat antarabangsa sebagai pendirian wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat," ujarnya.
Mengimbau lawatan ke lintasan Rafah pada 2024, Syed Ibrahim berkata pengalaman menyaksikan sendiri ribuan lori bantuan yang terkandas menguatkan keyakinannya terhadap kepentingan suara politik.
"Kami mungkin tidak mampu masuk ke Gaza, tetapi kami boleh bercakap dan menunjukkan realiti sebenar supaya dunia tahu apa yang berlaku," katanya.
Menurut beliau, kenyataan media dan rakaman di lapangan bukan sekadar simbolik, sebaliknya membentuk pendirian dan naratif berterusan.
"Kenyataan ini membina naratif, membina pendirian, dan itu penting untuk memastikan isu Palestin terus hidup dalam kesedaran dunia," katanya sambil menegaskan, pendirian lantang Parlimen Malaysia yang selari dengan dasar negara menjadikan suara Malaysia lebih diyakini.
"Kalau kerajaan dan Parlimen selari, apa yang tinggal hanyalah untuk terus istiqamah membawa isu Palestin tanpa jemu.
"Selagi kita terus bersuara dan tidak berhenti, insya-Allah masih ada harapan untuk rakyat Palestin," katanya menyuarakan keyakinan terhadap masa depan solidariti ini.





