top of page

Kanak kanak pelarian dilayan baik, ditempatkan di Baitul Mahabbah - KDN

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 6 days ago
  • 2 min read

Kerajaan menolak dakwaan bahawa Malaysia melayan kanak-kanak migran dan pelarian termasuk Rohingya secara tidak berperikemanusiaan dengan menegaskan bahawa enam pusat Baitul Mahabbah yang beroperasi di seluruh negara kini menempatkan 188 kanak-kanak, merupakan langkah interim bagi menyediakan perlindungan yang lebih sesuai berbanding depot tahanan imigresen.


Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi satu kenyataan berkata, dakwaan bahawa kanak-kanak dikurung tanpa pembelaan atau dinafikan kebajikan asas tidak menggambarkan usaha sebenar yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dalam mengurus isu migrasi.


"Setakat 28 Februari 2026, sebanyak enam buah Baitul Mahabbah telah beroperasi di seluruh negara dan menempatkan seramai 188 orang kanak-kanak, termasuk tujuh orang kanak-kanak yang dikategorikan sebagai kanak-kanak tanpa penjaga atau terpisah.


"Pelaksanaan inisiatif Baitul Mahabbah ini adalah langkah interim untuk menyediakan penempatan sementara yang lebih sesuai kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bersama penjaga mereka," kata kementerian.


Menurut KDN yang dipimpin Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kerajaan juga sedang merancang untuk memperluas skop dan kapasiti Baitul Mahabbah secara berfasa, termasuk bagi menampung kategori umur kanak-kanak yang lain, tertakluk kepada kesesuaian kemudahan, tahap keselamatan, keperluan perlindungan kanak-kanak serta kapasiti agensi pelaksana.


Realitinya kementerian itu berkata, kerajaan sedang berusaha memastikan kanak-kanak yang terlibat tidak terus berada dalam persekitaran tahanan biasa, di samping memastikan mereka dilindungi daripada risiko eksploitasi, penyeludupan migran, pemerdagangan orang dan pengabaian.

"Pendekatan yang diambil adalah bagi menyeimbangkan tuntutan kemanusiaan dengan tanggungjawab Kerajaan untuk memelihara keselamatan negara dan integriti sistem imigresen.


"Malaysia juga ingin menegaskan bahawa isu ini tidak boleh dilihat secara terpisah daripada konteks yang lebih besar.


"Kemasukan tidak sah, penyeludupan migran dan pemerdagangan orang yang melibatkan komuniti rentan, termasuk Rohingya, merupakan cabaran keselamatan dan kemanusiaan yang kompleks serta merentas sempadan," kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, KDN menyeru agar semua pihak, termasuk negara asal, pertubuhan antarabangsa, rakan serantau dan aktivis kemanusiaan memainkan peranan yang lebih tegas dan bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian yang mampan dalam isu pelarian, termasuk pelarian Rohingya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page