Kaitkan AMANAH dakwaan kes salah guna zakat: Laporan polis akan dibuat
- Akmal Manaf

- 4 days ago
- 1 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) akan menggerakkan ahlinya di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap beberapa pemilik akaun Facebook yang didakwa menyebarkan fitnah dengan mengaitkan parti itu dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes NGO didakwa salah guna dana zakat baru-baru ini.
Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, hantaran itu jelas merupakan fitnah dan menghasut rakyat terutama orang Melayu untuk membenci AMANAH, sedangkan siasatan tersebut tiada kaitan langsung dengan AMANAH.
"Tindakan ini diambil kerana hantaran-hantaran tersebut jelas mencemar nama baik AMANAH yang berpegang teguh dengan prinsip integriti.
"Cubaan mengaitkan AMANAH dengan siasatan dana zakat tersebut seolah-olah satu usaha untuk memburukkan nama AMANAH yang tegas memperjuangkan Islam.
"Saya percaya siasatan boleh diambil oleh pihak polis berdasarkan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia, Seksyen 5 Akta Fitnah 1957, Seksyen 501 Kanun Keseksaan dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Faiz lagi, AMANAH juga telah mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan sivil terhadap mana-mana individu yang memfitnah parti berkenaan dalam isu ini.
Ujarnya, laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan diambil supaya hantaran fitnah itu tidak lagi disebarkan sewenang-wenangnya.




Comments