top of page

'Jurang pendapatan antara daerah di Johor besar, PH tawar kesaksamaan'

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 day ago
  • 2 min read

Keutamaan Kerajaan MADANI sejak awal penubuhannya adalah memastikan hasil pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, bukannya sekadar mencatat angka pelaburan yang tinggi.


Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik (gambar) berkata, sejurus Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri, fokus utama yang digariskan adalah memulihkan ekonomi negara, mengembalikan keyakinan terhadap Malaysia serta melaksanakan pelbagai dasar yang mengangkat taraf hidup rakyat dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu.


"Sebab itu kita lihat bagaimana Datuk Seri Anwar tumpukan kepada perkara yang mikro berkaitan rakyat (seperti) hapuskan miskin tegar. Lihat, kadar kemiskinan di Selangor turun, kita pelik di Johor lebih tinggi. (Ia) fakta perbandingan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tak tipu angkanya.


"Di peringkat bawahan (di Johor) dalam bentuk yang lebih makro itu, orang miskin tegar masih ramai, jurang pembangunan antara Johor Selatan (lebih maju) dengan seluruh Johor itu jauh.


"Kadang tak perlu pergi jauh, antara Johor Selatan kita pergi ke Kota Tinggi dan Ayer Hitam, begitu jauh perbezaannya.


"Jurang-jurang seperti itu pada Datuk Seri Anwar beliau nak kita bersikap saksama. Kalau masuk (pelaburan) berbilion ringgit, tapi rakyat terbiar, itu tak ada guna," katanya.


Beliau berkata demikian dalam rancangan bual bicara Open Mic Malaysia bertajuk "Debat PRN Johor: On Tak Onn?" yang disiarkan di platform Youtube.


Sebagai contoh, kata Maszlee lagi, perbandingan pendapatan per kapita menunjukkan Selangor berada jauh di hadapan Johor, malah daerah seperti Sabak Bernam yang sering dianggap antara kawasan paling ketinggalan di negeri itu, mempunyai pendapatan per kapita yang hampir menyamai Johor Bahru.


"Kalau kita pergi ke daerah seperti Tangkak, Segamat dan Mersing, itu lagi menyedihkan. Itu (kalau kita lihat) dari segi kemiskinan tegar, pendapatan per kapita dan pemilikan rumah.


"Ini semua kadang kita pelik. Kedua, kalau di Selangor kita lihat sekarang ini, Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) dalam pakej rangsangannya beliau bagi sarapan percuma (kepada pelajar sekolah) dan moratorium.


"Ini semua ada kemampanan. Maksudnya rakyat dibiayai (dan) dipastikan kesejahteraan mereka berterusan. Di Johor, hanya bagi Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang terpaksa beratur di bawah panas dan sebagainya," kata beliau lagi.


Maszlee yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN bagaimanapun menyifatkan, bantuan berkenaan sememangnya sesuatu yang baik.


Namun, beliau berpandangan kaedah pelaksanaannya tidak seharusnya memerlukan rakyat beratur panjang dan mendengar ceramah politik kerana pendekatan sedemikian dilihat sudah tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page