Junjung titah Sultan, Selangor anjur SUKMA secara berhemah
- Suara Keadilan

- May 11
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor memutuskan SUKMA 2026 dan PARA SUKMA 2026 akan dianjurkan pada skala lebih sederhana dengan kawalan perbelanjaan yang lebih ketat.
Exco Sukan Mohd Najwan Halimi (gambar) berkata, langkah itu selari titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini agar temasya dwitahunan itu dilaksanakan secara berhemah dan berjimat cermat susulan faktor ekonomi global.
"Majlis perasmian dan penutupan SUKMA 2026 tetap akan dilaksanakan, namun pada skala lebih kecil dan sederhana.
"Kita tidak mahu melaksanakan majlis perasmian yang kelihatan mewah dan berbelanja tinggi. Mungkin tiada bunga api dan elemen-elemen kemewahan lain kerana kita mahu tumpukan kepada atlet-atlet yang akan membawa cabaran negeri masing-masing," katanya dipetik.
Najwan berkata begitu kepada pemberita selepas program Larian Obor SUKMA ke-22 & PARA SUKMA 2026 siri pertama peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada Ahad.
Beliau juga memaklumkan, beberapa langkah tambahan turut diambil bagi mengurangkan kos operasi termasuk membenarkan setiap kontinjen negeri mencetak sendiri kad akreditasi atlet dan pegawai.
Manakala jumlah sukarelawan SUKMA juga dikurangkan daripada sasaran asal hampir 30,000 orang kepada sekitar 3,000 hingga 5,000 orang.
Mengulas mengenai kos penganjuran temasya tersebut beliau menjelaskan, Kerajaan Negeri akan menanggung sepenuhnya kos penganjuran SUKMA 2026 dan PARA SUKMA 2026 tanpa sebarang peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.
"Justeru, daripada RM100 juta peruntukan asal yang disediakan, kita kurangkan kepada sekitar RM40 juta hingga RM50 juta, dengan fokus utama kepada penganjuran acara sukan serta kebajikan atlet," tambahnya.




Comments