JS-SEZ tumpuan dunia hasil kerjasama, kepercayaan rentas dua negara
- Suara Keadilan
- Jun 20
- 3 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bukan sebuah kawasan ekonomi bebas yang biasa kerana ia berjaya dilaksanakan dengan kerjasama merentasi kerajaan dua buah negara.
Perdana Menteri berkata pembangunan kawasan ekonomi di selatan tanah air itu berasaskan kepercayaan penuh dan kerja berpasukan antara pemimpin Malaysia di Johor dan kerajaan Persekutuan serta Singapura.
"Lihat kepada rantau ini, JS-SEZ tidak akan dibangunkan tanpa kerjasama erat antara dua kerajaan dan sistem. Ini bukan zon ekonomi biasa.
"Namakan satu zon ekonomi melibatkan dua negara yang dilaksana berasaskan kepercayaan penuh dan kerja berpasukan. Maka, saya ucap terima kasih bukan sahaja kepada pemimpin Johor dan Malaysia, tetapi juga rakan-rakan dari Singapura," katanya ketika berucap pada Forum Nikkei Medini Johor 2025 di Iskandar Puteri, Johor semalam.
Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam, Duta Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata dan Pegawai Eksekutif Urusan, Persidangan Global, Nikkei Inc Hidenaka Kato.
Turut hadir Penasihat Ekonomi Negeri Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad dan Pengerusi Iskandar Investment Berhad Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata JS-SEZ kini menjadi tumpuan dunia sebagai dinamo baharu dengan disertai beberapa negara termasuk Jepun, China, Korea, Eropah.
Katanya kedudukan itu tercapai hasil kerjasama yang dilakukan selain wujudnya kestabilan politik serta dasar yang jelas.
"Kadang-kala kita memerlukan instrumen baharu. Pusat Pemudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) adalah contoh yang baik. Ini Johor, bukan sesuatu yang mudah...pasti ada permintaan baharu dan jika gagal di peringkat negeri, mereka akan cuba dapatkan bantuan dari “atas”, tentu sekali atas tujuan yang baik.
"Pusat pemudahcara ini menjadi tumpuan utama untuk mempercepat proses kelulusan. [Ia] boleh dijadikan contoh oleh pihak berkuasa negeri lain dan agensi Persekutuan," katanya.
Tegas Perdana Menteri, cabaran yang dihadapi oleh Malaysia sebagai hab hab pusat data, AI dan semikonduktor adalah pelaksanaan yang efisien.
Dalam pada itu, pihak pelabur asing mempunyai kelebihan di negara ini apabila kerajaan menyediakan infrastruktur dan iklim perniagaan yang diperlukan.
"Maksud saya anda [pelabur] bertuah kerana Malaysia turut membangunkan kawasan Pengerang di Johor sebagai hab minyak dan gas di rantau ini dengan pemain utamanya Aramco.
"Semalam Pengerusi ConocoPhillips dari Amerika Syarikat (AS) baru sahaja menyatakan komitmen untuk mengembangkan pelaburan besar di Sabah," ujarnya.
Jelas beliau, negara ini kekal dengan pendekatan prakmatik dan dasar mesra pelabur kepada semua negara dan memanfaatkan hubungan itu untuk kebaikan negara terbabit dan rantau ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menekankan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan terbuka tidak boleh dipaksa untuk cenderung kepada mana-mana kuasa atau negara sama ada Jepun, China atau AS.
"Polisi kita mesti mempertahankan kepentingan negara dan rakyat. AS kekal menjadi pelabur dan rakan dagang terbesar, 60% eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) kita ke AS. Walau berbeza pandangan dalam dasar luar atau keputusan mengenakan tarif secara unilateral, kita tetap perlu jalinkan hubungan kukuh.
"Rundingan tarif dengan AS sedang berjalan dengan baik, menurut laporan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri. Pada masa sama, kita wakili kepentingan ASEAN... kita bekerjasama dengan Jepun, Korea dan China untuk memastikan perdagangan dan pelaburan kekal penting berdasarkan prinsip pelbagai hala," jelas beliau.
Bagaimanapun tegas Anwar, Malaysia menolak tindakan provokatif Korea Utara yang jejaskan keselamatan rantau ini, termasuk Korea Selatan dan Jepun.
"Kami di ASEAN telah mencapai kesepakatan kerana kami juga perlu menangani dan menghadapi isu di Laut China Selatan. Namun, hubungan kami dengan China sangat rapat.
"Tidak banyak negara yang boleh mencatatkan bahawa sebulan sebelumnya kami menerima lawatan rasmi Presiden Xi Jinping dan pada bulan berikutnya kami menerima lawatan Perdana Menteri Li Qiang, sesuatu yang tidak mungkin berlaku sekiranya hubungan kami dengan China tidak benar-benar rapat," katanya.
Comments