JPS lulus peruntukan baiki tebing Sg Dua Besar di Taman Batu Uban 2


Kerja-kerja membaiki struktur tebing Sungai Dua Besar dan rizab penyelenggaraan di Taman Batu Uban 2 akan dilaksanakan selepas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memperoleh kelulusan peruntukan bagi projek berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan berkata beliau turun padang bersama pegawai JPS kelmarin bagi meninjau kawasan yang terjejas susulan kejadian hakisan tanah yang berlaku tahun lalu.
"Saya turun padang ke Taman Batu Uban 2 bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi meninjau pelaksanaan kerja-kerja membaiki struktur tebing Sungai Dua Besar serta rizab penyelenggaraan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pelaksanaan projek itu adalah susulan permohonan yang dikemukakan kepada JPS selepas insiden hakisan yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
"Kerja-kerja ini merupakan susulan kepada permintaan yang saya kemukakan kepada JPS selepas kejadian hakisan tanah yang berlaku di Taman Batu Uban 2 pada tahun lalu," katanya.
Kumaresan berkata antara skop projek yang diluluskan termasuk pembinaan pagar konkrit dan pagar jejaring berangkai, kerja menggred jalan sedia ada serta memadatkan permukaan menggunakan tanah dan batu baur, selain membaiki lubang serta rekahan pada tebing konkrit menggunakan konkrit bergred tinggi.
"Kerja-kerja ini akan dimulakan sebaik sahaja proses tender selesai," katanya.
Beliau berkata lawatan itu turut disertai Jurutera Daerah JPS, Naim, Penolong Jurutera JPS, Ts. Fikri, Pengerusi Taman Batu Uban 2, Saarani, serta wakil penduduk dan pegawai JPS.
Kumaresan berharap projek berkenaan meliputi kerja-kerja menggred jalan sedia ada serta memadatkan permukaan menggunakan tanah dan batu baur. Serta menampal lubang dan rekahan pada tebing konkrit menggunakan konkrit bergred tinggi dapat disiapkan mengikut jadual demi menjamin keselamatan penduduk dan mengelakkan kejadian hakisan berulang.
"Saya berharap projek ini dapat disiapkan mengikut jadual bagi memastikan keselamatan penduduk serta mengelakkan kejadian hakisan daripada berulang pada masa hadapan," katanya.




Comments