top of page

JPM Hal Ehwal Agama kecam pencerobohan Masjid Al-Aqsa

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
56 minutes ago
1 min read

Tindakan peneroka haram Israel menceroboh Kompleks Masjid Al-Aqsa dan Masjid Ibrahimi di Palestin dikecam Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sekeras kerasnya.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, tindakan provokasi berkenaan yang berlaku di bawah kawalan ketat pasukan keselamatan Israel merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa.


"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam keras pencerobohan peneroka haram Israel ke atas Kompleks Masjid Al-Aqsa dan Masjid Ibrahimi di Palestin," katanya dalam kenyataan.


Menurut beliau, Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat pertama umat Islam dan dianggap sebagai garis merah yang perlu dipertahankan.


Sehubungan itu, beliau berkata JPM (Hal Ehwal Agama) menyokong ketegasan Wisma Putra dan menyeru masyarakat antarabangsa mengambil tindakan sewajarnya terhadap tindakan berkenaan.


Beliau turut menegaskan keperluan pihak yang bertanggungjawab dikenakan pertanggungjawaban berhubung tindakan yang didakwa mencabul undang-undang antarabangsa itu.


Dalam pada itu, Zulkifli berkata JPM kekal menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin dalam mempertahankan hak dan kedaulatan mereka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota.


"JPM (Hal Ehwal Agama) mengulangi solidariti teguh bersama-sama perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan hak dan kedaulatan mereka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota," katanya.


Beliau turut menyeru umat Islam di Malaysia supaya terus bersatu, memperbanyakkan doa dan menyuarakan bantahan demi keselamatan rakyat Palestin serta kesucian Al-Haram Al-Sharif.


"Umat Islam di Malaysia diseru untuk terus bersatu hati, memperbanyak doa, dan menggemakan bantahan demi keselamatan saudara kita serta kesucian Al-Haram Al-Sharif," katanya.


Untuk rekod, semalam Malaysia mengeluarkan mengutuk keras pencerobohan beramai-ramai ke atas kawasan Masjid Al-Aqsa oleh lebih seribu pendatang haram Israel dan pegawai kanan, termasuk Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page