Johor: Rapat jurang kaya - miskin, utamakan agenda rakyat - PM
- Suara Keadilan
- 49 minutes ago
- 2 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Johor dan Malaysia bukan negeri atau negara yang miskin, sebaliknya cabaran utama yang perlu ditangani ialah merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin yang semakin melebar.
Beliau berkata, kerajaan tidak boleh hanya berbangga dengan pembangunan berskala besar, sedangkan masih terdapat kawasan dan kediaman daif yang memerlukan perhatian.
"Siapa kata negara ini miskin? Siapa kata negeri Johor miskin? Tetapi kesenjangan di antara kaya dan miskin itu kian melebar.
"(Di Johor) kawasan terpinggir, rumah yang robek, yang tak pernah dicat puluhan tahun masih ada," katanya dalam ucapan di program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi di Kulai, semalam.
Anwar berkata demikian ketika menjelaskan pendekatan Kerajaan MADANI yang memberi penekanan kepada pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
hal berkenaan, kurang berlaku di Johor di bawah pentadbiran BN kerana sejak berdekad lalu pembangunan lebih tertumpu di bandar besar seperti Johor Bahru, Pasir Gudang dan beberapa kawasan industri utama lain.
PM berkata, pada waktu awal pentadbiran Kerajaan MADANI dan beliau bertanggungjawab sebagai Menteri Wilayah, mengurus Kuala Lumpur, antara keutamaan yang diberikan ialah menaik taraf gerai dan warung kecil yang menjadi tumpuan majoriti rakyat.
"Tengok di Selangor, Wilayah Persekutuan, tahun pertama saya jaga Kuala Lumpur apa saya tekankan? Kita tak mahu bangga KL kerana menara berkembar sahaja, hotel lima bintang tetapi gerai makanan itu digunakan 80 peratus rakyat.
"Apa dasar kita? Baiki gerai, baiki warung. Baiki restoran kecil kerana itu yang dimanfaatkan 80 peratus rakyat. Orang kaya tak payah baiki, dia pergi hotel lima bintang," katanya.
Menurut beliau, amalan turun padang secara konsisten perlu menjadi budaya kepimpinan dan bukan sekadar dilakukan ketika musim pilihanraya.
"Sebab itu jadual saya tetap, tiap hari Jumaat sebelum solat, saya pergi ke gerai seluruh Selangor, Wilayah, di mana-mana.
"Ingat saya tak mampu ke pergi hotel lima bintang? Tetapi bagaimana (pemimpin parti lain) dekat pilihanraya baru nak turun gerai, dekat pilihanraya baru nak salam budak kecil, ini budaya kita hentikan," katanya.
Anwar berkata, pemimpin perlu melihat sendiri keadaan sebenar di lapangan supaya setiap dasar yang dirangka benar-benar menyelesaikan masalah rakyat.
"Dalam Kerajaan MADANI saya beri contoh turun ke gerai, lihat meja orang makan, bumbung gerai baiki atau tidak.
"Kalau tidak kita bincang hebat, agenda rakyat tak terkendali. Inilah agenda kita (di Johor)," katanya.
