top of page

"Johor dipinggir", dakwaan Ka Siong bermotif politik?

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong bahawa Kerajaan Persekutuan meminggirkan Johor dalam pelaksanaan projek pengangkutan awam, khususnya Projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) langsung tidak berasas dan bermotifkan politik sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.


Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong (gambar), Johor sebenarnya terus menerima tumpuan besar dalam pembangunan infrastruktur, khususnya di kawasan Greater Johor Bahru.


"Realitinya, Johor menerima pelbagai projek strategik berskala besar termasuk Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, Landasan Berkembar Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru serta projek perluasan Lebuhraya Utara-Selatan.


"Jika benar Johor dipinggirkan, bagaimana projek-projek utama ini boleh dilaksanakan dan menerima sokongan Kerajaan Persekutuan?" katanya dalam kenyataan.


Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, sepatutnya Presiden MCA itu memahami proses pelaksanaan projek pengangkutan awam kerana beliau sendiri pernah memegang portfolio Menteri Pengangkutan dan terlibat dalam perancangan RTS Link.


Mengulas mengenai projek E-ART, beliau menjelaskan projek itu akan dilaksanakan menerusi model kerjasama awam-swasta (PPP) di bawah seliaan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) seperti yang telah diterangkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.


Katanya, perbandingan yang dibuat Ka Siong antara projek E-ART Johor dan projek LRT Mutiara Line di Pulau Pinang juga tidak adil kerana kedua-dua projek berada pada tahap pelaksanaan yang berbeza.


"LRT Pulau Pinang mengambil masa kira-kira 30 tahun daripada peringkat idea sehingga pembinaan fizikal dimulakan. Sebaliknya, perancangan sistem transit bandar di Johor masih belum mencecah satu dekad.


"Malah, Johor sudah mempunyai projek RTS yang sedang dibina dan dijangka mula beroperasi tahun depan," katanya.


Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan turut meluluskan peruntukan RM10 bilion bagi projek E-ART, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam di negeri paling Selatan di Semenanjung.


Chin Tong berkata, pelaksanaan projek mega memerlukan penelitian dari aspek perancangan, perolehan dan pembiayaan bagi memastikan manfaat maksimum kepada rakyat serta penggunaan dana awam secara berhemah.


Malah tegasnya, Johor terus diberikan perhatian menerusi pelbagai inisiatif strategik termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City yang dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri itu.


"Pengundi Johor cukup matang untuk menilai fakta dan tidak akan terpengaruh dengan naratif politik yang mengelirukan mengenai pembangunan negeri ini," katanya.


Terdahulu Ka Siong mendakwa Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pengangkutan gagal memberikan garis masa yang jelas mengenai pelaksanaan projek E-ART Johor walaupun projek itu amat penting bagi menyokong operasi RTS Johor Bahru-Singapura yang dijadual bermula pada 2027.


Beliau mempersoalkan bila Surat Setuju Terima (LOA) akan dikeluarkan, bila kerja fizikal akan dimulakan dan bila sistem itu akan beroperasi.


Ahli Parlimen Ayer Hitam itu turut mendakwa Kementerian Pengangkutan seolah-olah melepaskan tanggungjawab dengan menyerahkan urusan projek kepada UKAS serta menggesa Johor diberi layanan setara dengan projek LRT Mutiara Line di Pulau Pinang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page