Jerebu: KKM pantau, tingkat kesiapsiagaan fasiliti kesihatan
- Azuan Ab Rahman

- 2 hours ago
- 1 min read

Kementerian Kesihatan (KKM) memperkukuh pemantauan penyakit berkaitan jerebu serta kesiapsiagaan fasiliti kesihatan berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tahap tidak sihat direkodkan di beberapa kawasan.
KKM dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, pihaknya turut akan meningkatkan kesiapsiagaan anggota kesihatan dan bekalan ubat bagi memastikan perkhidmatan kesihatan segera diberikan sekiranya berlaku peningkatan kes akibat jerebu.
"KKM menasihatkan orang ramai, khususnya di kawasan terjejas supaya mengurangkan aktiviti fizikal dan lasak di luar bangunan serta menggunakan pelitup muka bersesuaian jika perlu berada di luar.
"Aktiviti sukan, kokurikulum dan fizikal lasak di luar bangunan disarankan supaya ditangguhkan atau dipindahkan ke dalam bangunan yang sesuai apabila IPU melebihi 100," kata kenyataan itu.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) pada Selasa, sembilan kawasan di Sarawak mencatatkan IPU tidak sihat, iaitu di Serian, Samarahan, Kuching, Bintulu, Samalaju, Mukah, Sibu, Sarikei dan Sri Aman selain Johan Setia di Selangor.
KKM sementara itu juga menasihatkan orang ramai menutup tingkap dan pintu bagi mengurangkan kemasukan udara tercemar, minum air secukupnya serta memberikan perhatian khusus kepada kanak-kanak, warga emas dan individu yang menghidap penyakit kronik.
Orang ramai juga diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh memburukkan kualiti udara dan meningkatkan risiko kesihatan akibat jerebu.




Comments