top of page

Jerebu: Kes kesihatan meningkat, KKM nasihat kurangkan aktiviti luar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan peningkatan ketara bagi kes kesihatan berkaitan kualiti udara ekoran jerebu yang melanda beberapa kawasan di dalam negara.


Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pemantauan mendapati kes asma dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) mencatatkan lonjakan tertinggi.


Menurut beliau, berdasarkan perbandingan antara Minggu Epidemiologi (ME) ke-32 dan ke-33, kes asma melonjak 259 peratus manakala URTI meningkat 124 peratus.


"Sebanyak 3,674 kes URTI dan 219 kes asma direkodkan pada ME ke-33, berbanding 1,637 kes URTI dan 61 kes asma pada minggu sebelumnya.


"Sedia maklum, bacaan IPU antara 200 hingga 300 dikategorikan sebagai sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya," katanya dipetik laporan media.


Dr Dzulkefly ditemui selepas merasmikan Wellness Hub Kuala Selangor dan Program Santuni Komuniti Minda Sejahtera (K-Mindset) di Kuala Selangor semalam.


KKM Sebelum ini memberi saranan supaya orang ramai mengurangkan berada di luar bangunan serta menggunakan pelitup muka yang sesuai sekiranya perlu berada di luar.


Manakala, aktiviti sukan, kokurikulum dan kegiatan fizikal lasak di luar bangunan ditangguhkan atau dipindahkan ke dalam bangunan yang sesuai sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di sesuatu kawasan melebihi 100.


Dalam perkembangan sama, Dr Dzulkefly turut memaklumkan 90 kes penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan, membabitkan 71 kes keletihan haba, 14 strok haba dan lima kekejangan haba.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai mengurangkan pendedahan kepada cahaya matahari dan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala berkaitan haba.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page