top of page

Jerebu: Aktiviti luar sekolah dihentikan jika bacaan lebih 100 - Fadhlina

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 29 minutes ago
  • 1 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan akan terus memantau keadaan jerebu dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) khususnya di kawasan yang terjejas bagi memastikan kesihatan dan keselamatan murid sentiasa menjadi keutamaan.


Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata tindakan berkaitan operasi sekolah ketika jerebu dibuat berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dengan bacaan IPU yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjadi rujukan rasmi.


Menurut beliau, sekiranya bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah akan dihentikan manakala sekolah ditutup apabila bacaan melebihi 200.


"Apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan. Apabila IPU melebihi 200, sekolah ditutup," katanya dalam kenyataan di Facebook.


Setakat pukul 7.30 pagi hari ini, sebanyak 40 kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat manakala Kota Samarahan, Sarawak mencatat bacaan 222, iaitu tahap sangat tidak sihat.


Di Semenanjung, antara kawasan yang merekodkan bacaan tinggi ialah Shah Alam dan Nilai masing-masing 166 manakala Batu Muda, Putrajaya dan Seremban, masing-masing mencatat 163.


Johan Setia, Klang pula merekodkan IPU 184.


Fadhlina berkata, ibu bapa yang bimbang terhadap kesihatan anak-anak juga dibenarkan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.


Beliau berkata, KPM memahami kebimbangan ibu bapa susulan keadaan jerebu yang berlaku ketika ini dan akan mengambil kira perkembangan semasa dalam menentukan tindakan yang perlu dilaksanakan.


"KPM akan terus memantau bacaan IPU dan keadaan semasa dari semasa ke semasa, khususnya di kawasan yang terjejas.


"Kebimbangan ibu bapa kita dengar. Kesihatan dan keselamatan anak-anak tetap menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang kita ambil," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page