top of page

Jenaka isu agama: Umno jangan membisu, perlu bertanggungjawab, beri teguran

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
4 hours ago
2 min read
Amidi Abdul Manan. Gambar arkib
Amidi Abdul Manan. Gambar arkib

Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) mempersoalkan tindakan pimpinan utama Umno yang didakwa tidak menegur Ketua Umno Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said berhubung kenyataan yang didakwa menghina serta menyentuh sensitiviti agama Kristian pada Perhimpunan Agung Umno 2026 lalu.


Pengerusi BiPPA, Amidi Abdul Manan berkata, tiada teguran diberikan oleh pimpinan tertinggi Umno mahupun Majlis Ulama Umno (MUU) terhadap Noorazli berhubung perkara berkenaan boleh menimbulkan salah tanggapan dan merosakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.


"Apabila Ketua Umno Bahagian Sepang, berucap di pentas Perhimpunan Agung Umno, menghina agama Kristian tiada sebarang teguran diberikan oleh pimpinan tinggi Umno.


"Majlis Ulama Umno juga membisu. Tiada sebarang kenyataan atau teguran diberikan kepada Ketua Bahagian Sepang," katanya dalam kenyataan media.


Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu berkata, prinsip menghormati agama lain turut mempunyai asas dalam ajaran Islam, termasuk melalui firman Allah dalam Surah Al-An’am ayat 108 yang melarang umat Islam daripada mencerca sembahan agama lain.


“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan”


"Dari ayat ini larangan menghina atau mencerca sembahan atau agama lain termasuk dalam pemeliharaan maruah dan nama baik agama Islam.


"Dalam firman Allah ini juga dinyatakan dengan jelas tujuan larangan menghina sembahan lain adalah untuk mengelakkan agama Islam diperlakukan dengan perkara yang serupa," ujarnya.


Menurutnya, tindakan menghina atau mencerca agama lain bukan sahaja mempunyai implikasi dari sudut kemasyarakatan, malah didakwanya bertentangan dengan prinsip Islam.


Amidi berkata, permohonan maaf Noorazli kepada penganut Kristian sahaja tidak memadai dan beliau perlu turut memohon maaf kepada umat Islam.


"Tidak cukup untuk Datuk Noorzali Said memohon maaf kepada penganut agama Kristian, beliau perlu memohon maaf kepada umat Islam dan yang lebih besar adalah meminta ampun dari Allah s.w.t kerana melanggar larangan-Nya," kata Amidi.


Sehubungan itu, BiPPA menuntut Noorazli mengambil tindakan sewajarnya bagi memulihkan maruah agama Islam susulan isu berkenaan.


Amidi berkata, pemeliharaan maruah agama perlu diterjemahkan melalui pengamalan nilai dan ajaran Islam, bukan sekadar dijadikan slogan.


"Memartabatkan maruah agama bukan sekadar dilaungkan tapi segala nilai ajaran Islam perlu diamalkan," katanya lagi.


Kelmarin, Ketua Umno Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said berkata beliau bersedia memohon maaf sekiranya kisah yang disampaikan ketika berucap pada PAU beberapa hari lalu menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut agama Kristian.


Dalam ucapannya semasa membahaskan ucapan dasar Presiden Umno pada Sabtu, Noorazli menceritakan jenaka berkisarkan mengenai seorang paderi memandu Proton Saga manual yang menumpangkan seorang biarawati yang dianggap sesetengah pihak berunsur seksual dan merendahkan darjat pemuka agama.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page