Jemput Trump: Langkah pragmatik Malaysia hadapi kuasa besar
- Suara Keadilan

- Sep 29
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) menyarankan agar Malaysia memanfaatkan kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur pada bulan depan bagi menerajui komitmen terhadap dialog keamanan, keadilan dan pembebasan Palestin.
Ketuanya Athirah Aiman Sabu (gambar) yang mengambil sikap positif terhadap jemputan kehadiran Trump itu berkata, keputusan itu merupakan satu langkah pragmatik bagi menghadapi kuasa besar dengan Malaysia memainkan peranan signifikan dalam diplomasi antarabangsa.
"Sebagai tuan rumah dan Pengerusi ASEAN, kita meyakini bahawa kerajaan Malaysia komited terhadap usaha memastikan keamanan serantau dan kerjasama antarabangsa, khususnya menerusi keterlibatan kuasa besar seperti AS dalam membina dialog yang konstruktif serta mewujudkan keseimbangan geopolitik yang adil dan inklusif.
"Apa sahaja yang berlaku di mana-mana bahagian dunia, tentu akan memberi impak kepada Malaysia dan rantau ASEAN, termasuklah tragedi kemanusiaan yang berpanjangan sedang berlaku di rantau Asia Barat khususnya di Palestin," katanya dalam kenyataan hari ini.
Aiman Athirah yang juga Ketua Wanita Harapan berkata, kehadiran Trump tidak boleh dilihat sebagai melemahkan sokongan kepada Palestin sebaliknya sebagai satu langkah progresif dalam usaha negara membawa perbincangan berkaitan isu kemanusiaan di Palestin dengan Malaysia dan ASEAN harus menyatakan pendirian tegas secara terbuka dalam sidang kemuncak itu.
"Penderitaan rakyat Palestin bukan lagi isu kecil dan bukan hanya isu seputar umat Islam semata-mata, tetapi ia adalah isu kemanusiaan dunia dan keadilan sejagat yang perlu disuarakan dan dipertegaskan secara berani, bertanggungjawab dan membina," katanya.
Ahli Parlimen Sepang itu berkata AWAN menyambut baik pendirian dan komitmen kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim yang telah menzahirkan sokongan berterusan untuk kemanusiaan Gaza termasuklah menjadi peneraju utama program Sumud Flotilla Nusantara dan kemerdekaan Palestin.
"Kita memahami bahawa Malaysia tidak akan bertolak ansur ke atas sebarang tindakan barbarian dan kejam yang dilakukan oleh mana-mana kuasa dan negara ke atas mana-mana negara yang lain, termasuklah tindakan kejam Israel ke atas rakyat Palestin," ujarnya.
Sehubungan itu, kata beliau AWAN menggesa agar Malaysia dapat menegaskan bahawa pendirian negara terhadap isu Palestin kekal tidak berubah iaitu menyokong penuh penubuhan sebuah negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan pra 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
"AWAN percaya bahawa kehadiran pemimpin dunia di rantau ini merupakan peluang untuk kita menyuarakan secara tegas dan bijaksana keperluan mendesak penyelesaian yang adil, aman, dan berkekalan bagi rakyat Palestin.
"Dalam semangat diplomasi terbuka, AWAN juga berharap Malaysia akan menyampaikan secara langsung kebimbangan rakyat kita terhadap dasar luar AS yang dilihat menyokong pendudukan haram Israel, bersikap lunak terhadap tindakan kejam Israel terhadap kanak-kanak, wanita, warga emas dan orang tidak berupaya," ujarnya.









Comments