Jemaah haji Malaysia tidak tinggalkan sampah, tinggalkan teladan - Dr Zulkifli
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan memuji disiplin serta budaya menjaga kebersihan dalam kalangan jemaah haji Malaysia yang terus menjadi contoh di Tanah Suci Mekah.
Beliau berkata, sikap tersebut jelas terserlah khususnya di kawasan Masyair iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina, walaupun jemaah berdepan keadaan sesak, cuaca panas dan keletihan sepanjang menunaikan ibadah haji.
"Jemaah haji Malaysia sering dipuji kerana disiplin dan budaya menjaga kebersihan di Tanah Suci, terutama di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
"Walau sesak, panas dan penat, khemah tetap dijaga bersih dan teratur. Kerana ibadah bukan sekadar ritual, tapi juga tentang adab dan amanah," katanya dalam muat naik di media sosial.

Menurut beliau, kebersihan yang dipelihara bukan sekadar soal fizikal, tetapi mencerminkan adab dan amanah sebagai tetamu Allah.
"Khemah ditinggalkan kemas, laluan dijaga bersih, sampah dibuang teratur, kecil pada mata, besar pada nilai adab dan amanah.
Penting untuk kita menjaga ruang yang dikongsi bersama," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan telah menyempurnakan pelancaran Inisiatif Haji Lestari (Green Hajj) 1447H/2026M yang memperkenalkan program kitar semula kain ihram terpakai.
Katanya, sebelum ini kain ihram sering ditinggalkan oleh jemaah dalam jumlah besar dan dibuang begitu sahaja, namun kini ia dapat dikitar semula menjadi produk lain yang bermanfaat.
"Dengan inisiatif ini, dapatlah kain ihram ini dikitar semula dan dijadikan produk lain untuk dimanfaatkan," katanya.
Tambah Zulkifli, Kempen Kebersihan Masyair 1447H/2026M yang kini memasuki tahun ke-10 pelaksanaannya akan terus diperkasakan sebagai komitmen memastikan kebersihan sentiasa terpelihara demi keselesaan bersama dan kemabruran ibadah.




Comments