Jelapang padi: Kedah dapat kelonggaran hasil rundingan Persekutuan - Negeri
- Suara Keadilan

- Sep 6
- 2 min read

Kerajaan Persekutuan meskipun berbeza ideaoligi dengan Kerajaan Negeri Kedah namun tidak menekan negeri itu dalam soal rundingan pembangunan.
Hal tersebut dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Persekutuan mengambil pendekatan seimbang antara keperluan pembangunan dan kelestarian pertanian di Kedah, apabila memberi kelonggaran kepada negeri itu mengecilkan sedikit kawasan jelapang padi di sekitar ibu negeri Alor Setar untuk tujuan komersial dan industri.
"Saya bagi pandangan dan Jemaah Menteri setuju untuk kita perluaskan sikit, kurangkan kawasan jelapang padi. Perluaskan sedikit di sekitar Alor Setar," katanya pada penutupan Program MADANI Rakyat di Baling, sambil menekankan rundingan dengan Kerajaan Negeri penting bagi menjamin keseimbangan ekonomi.
Anwar menjelaskan, keputusan tersebut dibuat tanpa menjejaskan status Kedah sebagai jelapang padi negara, sebaliknya membuka ruang kepada pembangunan perumahan, komersial dan perindustrian yang mendesak.
Selain itu, kerajaan pusat turut menyalurkan peruntukan awal RM1 bilion untuk projek tebatan banjir dan baik pulih sistem tali air, daripada jumlah keseluruhan RM5 bilion, bagi meningkatkan hasil tanaman padi.
"Kalau tidak baiki sistem tali air, kita tidak boleh harap hasil tanaman padi meningkat.
"Alhamdulillah, saya pantau perjalanan projek ini sejak beberapa bulan lalu dan ada kemajuan," katanya.
Beliau turut menekankan pendekatan baharu kerajaan yang lebih inklusif, dengan mendengar pandangan negeri sebelum menetapkan keutamaan projek dalam Belanjawan dan Rancangan Malaysia.
"Belum pernah dalam sejarah Perdana Menteri turun ke negeri, dengar suara negeri dan buat pelarasan dalam Rancangan Malaysia serta Belanjawan. Inilah faedahnya bila ada rundingan," ujarnya.
Sejak 2021, peruntukan pembangunan untuk Kedah meningkat ketara daripada RM7.1 bilion kepada RM9.7 bilion pada 2025, manakala pemberian khas juga bertambah daripada RM451 juta kepada RM540 juta.
Antara projek besar Persekutuan di Kedah ialah Skim Pemindahan Air Jeniang (RM922 juta), Hab Logistik NCER di Sidam (RM700 juta), Tebatan Banjir Sungai Kedah/Anak Bukit (RM641 juta), Rubber City Ladang Ketapang (RM628 juta) serta Hospital Kulim (RM588 juta).
"Negeri kata ada keutamaan begini, jadi kita boleh ubah suai, kita sesuaikan," tegas Anwar lagi.









Comments