Oleh: Syed Ibrahim Syed Noh
Baru-baru ini, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Negeri Johor telah melaksanakan program Jelajah Food Bank seharian ke seluruh Cabang-cabang di Johor dengan jayanya.
Tujuan program untuk meneruskan agenda pembelaan rakyat dalam keadaan negara masih diserang penularan wabak Covid-19 dan rakyat baharu sahaja melalui fasa pemulihan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Program diuruskan oleh Biro Penerangan Negeri di bawah pimpinan Ketua Penerangan, YB Md Ysahrudin Kusni yang juga merupakan ADUN Bukit Naning.
Ia melibatkan pengagihan 520 kotak barang makanan asas bernilai keseluruhannya lebih kurang RM30,000 untuk diedarkan kepada mereka yang memerlukan di seluruh Johor.
Ini merupakan tambahan daripada peruntukan berjumlah RM26,000 yang telah diagihkan oleh KEADILAN Negeri melalui Cabang-cabang sewaktu fasa awal PKP. Pada masa yang sama, hampir ke semua wakil rakyat daripada KEADILAN dan PAKATAN HARAPAN di Johor turut menyerahkan pelbagai sumbangan di kawasan masing-masing.
Sambutan menggalakkan
Meskipun cuaca hujan mengiringi hampir keseluruhan Jelajah Food Bank KEADILAN Negeri Johor namun program telah berjalan lancar dan mendapat sambut baik di semua empat “check-point”.
Kesemua 26 Cabang (Parlimen) terlibat dalam jelajah tersebut yang dipecahkan mengikut empat zon atau empat “check-point” iaitu “check-point” pertama di Tangkak; “check-point” kedua di Ayer Hitam; “check-point” ketiga di Kulai dan “check-point” terakhir di Johor Bahru. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat!
Jelajah Food Bank ini walaupun program kecil tetapi amat bermakna. Program-program lain seperti membina kemahiran dan pemadanan kerja juga boleh dilaksanakan terutama dalam situasi kadar pengangguran yang tinggi sekarang.
Pimpinan KEADILAN Negeri percaya segala daya dan sumber yang ada wajar diusahakan untuk terus membela nasib rakyat dalam keadaan ekonomi dan pekerjaan yang tidak menentu sekarang.
Semangat terus membara
Kehilangan kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan atau anggota yang keluar parti tidak seharusnya melunturkan semangat atau membantut agenda reformasi dan pembelaan rakyat. Malah KEADILAN Negeri Johor percaya ia akan lebih membakar semangat anggota dan parti untuk berjuang demi rakyat selari dengan prinsip perjuangan parti.
KEADILAN pernah menghadapi dugaan dan cabaran sebagai pembangkang. Pernah terpaksa berhadapan tekanan dan ancaman. Pernah diuji kesempitan kewangan dan pelbagai krisis. Namun ia tidak pernah mematahkan semangat sebaliknya tambah kukuh keyakinan dan azam. Selama lebih 20 tahun, semangat dan roh perjuangan tetap utuh kerana ia tertegak di atas panji keadilan, kebenaran dan agenda rakyat.
Sungguh pun mungkin rakyat sudah perolehi bantuan melalui PRIHATIN dan PENJANA namun hakikatnya masih terdapat masalah dalam pelaksanaannya seperti bil elektrik yang naik mendadak meskipun dijanjikan diskaun tertentu (hanya baru-baru ini kerajaan berjanji menyelesaikannya) dan kadar ambilan untuk pelbagai pinjaman yang diberikan oleh kerajaan hanya lebih kurang dua peratus, tidak banyak PKS yang mendapat manfaat daripada pinjaman mudah ini (hanya tiga daripada 10 syarikat PKS mengambil insentif, menurut Ketua Pembangunan Kewangan MIDF, Azizi Mustafa).
Difahamkan ada penawaran geran bernilai RM3,000 kepada peniaga-peniaga untuk memulakan kembali perniagaan mereka. Namun menurut salah seorang peniaga yang ditemui di Ayer Hitam, sampai sekarang geran tersebut masih belum diperolehi. Ini isu penyampaian dan kepantasan bantuan.
Peniaga-peniaga pasar di Pasar Larkin dan Pasar Malam Tangkak Jaya umpamanya masih bergelut untuk memulakan perniagaan. Tidak ramai pembeli ke pasar dan perniagaan masih lembab sedangkan stok barangan perlu dibayar dan hutang telah tertunggak puluhan ribu.
Kelulusan pinjaman perlahan
Sebab itu bila dibuat tinjauan ke atas PKS oleh SME Corp Malaysia baru-baru ini seperti dilaporkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, sebanyak 30.1 peratus daripada responden mengadu bahawa proses kelulusan pinjaman adalah terlalu perlahan dan tidak mudah. Cabaran lain ialah terma dan syarat pinjaman yang ketat (37.4 peratus), kekurangan maklumat dan prosedur yang tidak jelas mengenai insentif rangsangan (29.2 peratus) termasuk keperluan untuk opsyen selain daripada pembiayaan hutang (17.9 peratus).
Di samping itu, dengan tamatnya tempoh moratorium atau penangguhan bayaran balik pinjaman kewangan beberapa bulan lagi, dibimbangi sebahagian rakyat tidak mampu membayar semula pinjaman ekoran keadaan ekonomi yang masih tidak stabil.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan turut melihat tempoh enam bulan tersebut belum mencukupi untuk menstabilkan aliran tunai yang terjejas.
Malah, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor juga menyatakan sekiranya tempoh moratorium ini dipanjangkan, ia akan memberi manfaat kepada lebih 14 juta pekerja membabitkan sektor kerajaan, swasta dan bekerja sendiri.
Isi kelompongan bantuan
Justeru, KEADILAN Negeri Johor berpendirian bahawa walaupun kerajaan telah mengumumkan hampir RM300 bilion dalam pakej rangsangan untuk membantu ekonomi dan perniagaan berjalan, namun masih terdapat banyak kelompongan daripada segi penyampaian serta manfaat.
Program Jelajah Food Bank KEADILAN Negeri Johor hanyalah satu daripada pelbagai program parti yang bakal diadakan untuk membela nasib rakyat tetapi diharap boleh mencetuskan keazaman di kalangan organisasi lain untuk mengisi kelompongan bantuan.
KEADILAN Negeri Johor mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak dalam hal ini. Sumbangan boleh dibuat melalui pejabat-pejabat Cabang di seluruh Johor.
KEADILAN Negeri Johor juga mengalu-alukan penyertaan anggota baru parti yang percaya kepada perjuangan menegak keadilan dan pembelaan rakyat.
__________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengerusi KEADILAN Negeri Johor dan Ahli Parlimen Ledang
Commentaires