Jawatankuasa khas ditubuh kaji penambahan kerusi Parlimen Sabah, Sarawak


Sebuah Jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi memperincikan kaedah dan kajian penambahan bilangan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata jawatankuasa di bawah Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu akan dipengerusi beliau bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Jawatankuasa tersebut turut akan membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak serta wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.
"Melalui pendekatan ini, kita berharap dapat memperincikan garis masa kerana perbincangan sebelum ini hanya memberi gambaran awal dan belum terperinci," katanya dipetik laporan media.
Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku 'The Transformative Integrated Living Lab (TILL): From Philosophy to Practice' Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu (PBAKK 2026) bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.
Beliau sementara itu berkata, penambahan kerusi Parlimen di kedua-dua wilayan itu tidak seharusnya dilihat sebagai peningkatan biasa, sebaliknya bagi memastikan nisbah perwakilan yang adil antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
"Representasi Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak perlu ditambah supaya kita dapat membawa suara kedua-dua negeri dalam menentukan dasar penting negara," tambahnya.




Comments