top of page

Jawatan tetap buat doktor siswazah menjelang 2028

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 17 hours ago
  • 1 min read

Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk menyerap semua pegawai perubatan siswazah ke jawatan tetap menjelang 2028


Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran di media sosial pada Isnin berkata, tawaran jawatan tetap kepada semua pegawai perubatan siswazah sebaik sahaja mereka menamatkan latihan siswazah itu merupakan sebahagian agenda reformasi berterusan dilaksana Pasukan Petugas Bersama Antara Kementerian (IMJTF).


"IMJTF kini mula menampakkan hasil dalam menangani isu sumber manusia yang telah berlarutan sejak sekian lama. Kami mendengar kebimbangan anda dan sedang giat merapatkan jurang yang wujud.


"Tahun ini sahaja, 4,500 pegawai perubatan kontrak akan diserap ke jawatan tetap, selain 800 jawatan baharu yang diluluskan setiap tahun


"Menjelang 2028, KKM menyasarkan untuk menawarkan jawatan tetap kepada semua pegawai perubatan siswazah sebaik sahaja mereka menyelesaikan latihan. Inilah pendekatan whole-of-government yang sebenar," katanya.


Menerusi hantaran sama, Dr Dzulkefly turut menegaskan bahawa tiada pembekuan pengambilan dilaksanakan walaupun berlaku penyelarasan semula peruntukan perbelanjaan operasi.


Dalam masa sama KKM juga berusaha keras menangani masalah keletihan melampau atau burnout dengan menambah baik persekitaran kerja.


"Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) yang baharu Datuk Dr Mohd Azman Yacob juga sudah ditugaskan supaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha merombak dan menyelesaikan isu berkaitan melahirkan pakar perubatan tempatan.


"Kita sedang memperbaiki sistem ini untuk memastikan ia benar-benar mengangkat martabat, khususnya para doktor muda kita," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page