Janji turun harga minyak berjaya dikotakan PM - Hassan Karim
- Helmi Mohd Foad
- 16 hours ago
- 2 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim terbukti berjaya menunaikan janjinya untuk menurunkan minyak bagi dinikmati seluruh lapisan warganegara melalui pelaksanaan dasar subsidi bersasar.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (gambar) berkata pihaknya sendiri sanggup berdebat termasuk menghadapi pembangkang sekiranya mereka masih mendakwa Perdana Menteri gagal mengotakan kata-katanya.
"Anwar menunggu masa sehingga berlaku krisis geopolitik di Timur Tengah iaitu perang Amerika Syarikat- Israel ke atas Iran untuk menunaikan janjinya menurunkan harga minyak apabila beliau menjadi Perdana Menteri.
"Biarlah fakta yang bercakap. Apakah Anwar patut disalahkan atau beliau seharusnya dipuji jika sejak Februari 2026 berlakunya perang di Teluk Parsi, bekalan minyak petrol, diesel serta gas asli untuk memasak kekal mencukupi untuk kegunaan kehidupan seharian rakyat dan keperluan perniagaan serta industri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hassan yang sebelum ini banyak bersikap kritikal terhadap pentadbiran Anwar berkata, seluruh rakyat berhak membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter hanya dengan menggunakan kad pengenalan sebagai pengesahan kelayakan.
"Selain Brunei dan Arab Saudi, tidakkah harga petrol dan diesel di Malaysia adalah yang terendah di dunia?" soal Hassan.
Kini mulai 1 Julai, harga minyak diesel bersubsidi di seluruh Malaysia, di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan boleh dibeli dengan harga subsidi RM2.10 seliter.
"Harga diesel tanpa subsidi adalah RM4.07 seliter. Tidakkah ini bermakna Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menunaikan janjinya?"
Katanya subsidi diesel diberi kepada 700,000 individu yang layak manakala 450,000 sektor logistik juga layak menerima diesel bersubsidi.
Malah tidak ketinggalan seramai 210,000 petani, pekebun kecil di seluruh negara menjadi penerima diesel bersubsidi.
"Dengan fakta-fakta benar yang saya bentangkan secara bertanggungjawab di atas, maka silalah jawab, tidakkah Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri telah menunaikan janjinya selama ini untuk menurunkan harga minyak?"
Kata beliau, meskipun masih bersikap kritis dan tidak bersetuju Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan, isu tersebut berkaitan tatakelola dan boleh dibincangkan di ruang yang lain.
"Tetapi di dalam soal janji Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri untuk menurunkan harga minyak, maka saya dengan rendah hati, berani mempertaruhkan diri saya untuk berbahas atau berdebat dengan sesiapa pun, terutamanya anggota parlimen pembangkang," katanya lagi.
