Janji reformasi: Kerajaan MADANI tidak gagal tunai agenda reformasi - AMK Mas Gading
- Akmal Manaf
- Mar 16
- 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Cabang Mas Gading, Johor menegaskan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah menyimpang daripada agenda reformasi yang diperjuangkan sejak sekian lama.
Sebaliknya, menurut Timbalan Ketua Penerangan AMK Cabang Mas Gading, Anas Darwish, walaupun sedang mewarisi pelbagai kerosakan struktur dalam pentadbiran dan ekonomi negara, Kerajaan MADANI terus komited memperkukuh institusi, membanteras rasuah, meningkatkan ketelusan pentadbiran dan memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius kenyataan Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz yang menyifatkan politik negara sebagai 'bernanah' dan mendakwa Kerajaan MADANI gagal menunaikan janji reformasi.
Katanya, sebagai anak muda yang berada di lapangan dan memahami denyut nadi rakyat, kenyataan sebegitu bukan sahaja bersifat keterlaluan, malah tidak mencerminkan keseluruhan usaha reformasi institusi yang sedang dan terus dilaksanakan oleh kerajaan pada hari ini.

"Reformasi bukan boleh diselesaikan dengan retorik pentas atau slogan politik bermusim tetapi memerlukan keberanian politik, kestabilan pentadbiran, penelitian undang-undang dan sokongan institusi agar setiap perubahan dilaksanakan benar-benar memberi kesan jangka panjang kepada rakyat dan negara.
"Kenyataan kononnya reformasi telah gagal adalah tidak adil terhadap usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus, memperkemas dasar ekonomi, memperluas perlindungan sosial serta memastikan suara rakyat terus diangkat dalam proses pentadbiran negara.
"Kami juga ingin mengingatkan bahawa perjuangan reformasi bukan milik eksklusif mana-mana parti kecil yang gemar menunggang sentimen anak muda," katanya dalam satu kenyataan.
Anas menyifatkan reformasi sebagai suatu perjalanan perjuangan yang panjang, diperjuangkan sejak sekian lama dengan pengorbanan besar, dan kini sedang diterjemahkan secara berperingkat melalui kepimpinan yang bertanggungjawab.
"Kami ingin menegaskan bahawa rakyat pada hari ini bukan memerlukan politik yang hanya pandai menghukum dan menuding jari, tetapi politik yang menawarkan penyelesaian, kestabilan dan tanggungjawab.
"Sehubungan itu, kami menyeru seluruh anak muda agar menilai politik dengan matang dan berfakta. Jangan mudah terpengaruh dengan naratif populis yang hanya mahu meraih perhatian, sedangkan hakikatnya negara memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan komitmen bersama untuk membina masa depan yang lebih adil dan stabil.
"AMK Mas Gading berdiri teguh bersama Kerajaan MADANI dalam meneruskan agenda reformasi demi rakyat, demi masa depan anak muda, dan demi Malaysia yang lebih bermaruah.
"Reformasi bukan retorik. Reformasi adalah kerja besar yang sedang diteruskan dengan tanggungjawab," tegas beliau lagi.
Terdahulu, Amira yang juga ADUN Puteri Wangsa dilapor berkata, lambakan laungan reformasi yang tidak terlaksana menyebabkan rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap institusi politik tanah air.
"Sehingga sekarang kita menanti janji Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), janji Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilantik dalam Parlimen.
"Janji pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, janji jawatan Perdana Menteri tidak menjadi Menteri Kewangan, janji lantikan politik dihentikan.
"Sebab itu kita (Muda) perlu memarhaenkan Malaysia, pulangkan negara kepada anak bangsa. Masa depan kita tidak wajar ditentukan oleh elit politik, ini masa untuk demokrasi yang lebih membumi," katanya lagi.
