top of page

Jangan tukar 'sensara' pertahan tanah adat dengan hiburan, makanan kempen PRN Sarawak

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
11 hours ago
2 min read
Sesi Townhall berkenaan tanah adat menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak di dewan Sg Asap
Sesi Townhall berkenaan tanah adat menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak di dewan Sg Asap
Janganlah kerana dihidangkan beer, 'chicken wing", hiburan dan tarian poco-poco semasa kempen pilihanraya, segala pengalaman pahit mempertahankan tanah, kebun dan hak keluarga selama lima tahun lalu terus dilupakan - Abun Sui

Kemeriahan kempen pilihanraya yang disajikan dengan jamuan dan hiburan tidak seharusnya menyebabkan masyarakat luar bandar melupakan isu tanah adat (NCR) dan kesulitan mendapatkan hak milik tanah yang masih belum diselesaikan.


Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit berkata, pengalaman pahit masyarakat mempertahankan tanah dan kebun daripada tindakan syarikat perladangan sepanjang lima tahun kebelakangan ini tidak seharusnya dilupakan apabila tiba musim pilihanraya.


Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan dalam program Townhall Tanah Adat di Sungai Asap, Belaga pada 14 November lalu, apabila beberapa penduduk berkongsi pengalaman tanaman kelapa sawit yang diusahakan bertahun-tahun dimusnahkan sehingga menyebabkan kerugian besar dan kehilangan sumber pendapatan.


"Lebih menyedihkan, terdapat pekebun yang mendakwa hanya ditawarkan pampasan sebanyak RM35 bagi setiap pokok kelapa sawit yang sudah berbuah sekiranya mereka bersetuju menyerahkan kebun kepada syarikat.


"Jumlah tersebut amat tidak munasabah jika dibandingkan dengan masa, tenaga, kos dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh pekebun selama bertahun-tahun.


"Walaupun mereka tidak menitiskan air mata ketika berkongsi pengalaman tersebut, saya percaya ramai yang menangis dalam hati apabila mengenangkan kemusnahan kebun dan tanaman yang menjadi sumber kehidupan keluarga mereka," katanya dalam satu kenyataan.


Kesempatan teliti semula mandat


Pengerusi Biro NCR KEADILAN Sarawak itu menyifatkan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 merupakan satu kesempatan untuk masyarakat meneliti semula isu-isu yang telah mempengaruhi kehidupan mereka sepanjang penggal lalu.


Ujar beliau, pengalaman mempertahankan tanah adat, kerugian akibat kemusnahan tanaman serta kesukaran mendapatkan geran tanah merupakan perkara yang tidak seharusnya dipinggirkan dalam perbincangan mengenai masa depan masyarakat luar bandar.


Abun menegaskan, pengalaman pahit selama lima tahun tidak sepatutnya dipadamkan oleh kemeriahan hiburan selama beberapa hari.


"Perbincangan sepanjang pilihanraya juga perlu memberikan perhatian kepada penyelesaian yang nyata terhadap masalah tanah, kemudahan asas, pembangunan luar bandar dan kesejahteraan generasi akan datang.


"Janganlah kerana dihidangkan beer, 'chicken wing", hiburan dan tarian poco-poco semasa kempen pilihanraya, segala pengalaman pahit mempertahankan tanah, kebun dan hak keluarga selama lima tahun lalu terus dilupakan.


"Beer akan habis diminum, 'chicken wing' akan habis dimakan dan muzik poco-poco akhirnya akan berhenti.


"Namun kesan kehilangan tanah, kemusnahan kebun dan sumber pendapatan boleh ditanggung oleh keluarga sehingga ke generasi akan datang," katanya lagi.


Abun yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang bagaimanapun berkata, beliau tidak mempertikaikan hak masyarakat untuk berhibur atau menikmati kemeriahan pilihanraya.


Namun, katanya, hiburan tidak sepatutnya mengalihkan perhatian daripada isu-isu sebenar yang mempengaruhi kehidupan rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page