Jangan tuding PH kerajaan lambat laksana perubahan, lihat rekod BN
- Azuan Ab Rahman
- 40 minutes ago
- 2 min read

Dakwaan pemimpin Umno, Datuk Razlan Rafii bahawa Pakatan Harapan (PH) bersikap angkuh dan enggan mengambil iktibar daripada PRN Johor dibidas keras.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, kenyataan Razlan itu sebagai cubaan mengalihkan perhatian serta menutup kelemahan parti berkenaan terutama selepas beliau membuat teguran terhadap Presiden Umno.
"Barisan Nasional (BN) tidak boleh melepaskan tanggungjawab berhubung prestasi pentadbiran hari ini, mereka juga adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
"Jadi tidak perlulah cuba memberi gambaran seolah-olah PH sahaja yang perlu dipersalahkan
"Razlan sendiri sepatutnya rasa malu, sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, beliau gagal bantu selesai isu sokongan orang Melayu terhadap kerajaan MADANI," kata Saifuddin.
Saifuddin sebelumnya menegur Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar tidak angkuh dengan keputusan PRN Johor dengan menegaskan Umno masih memerlukan pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu memulihkan imej parti itu selain memastikan mereka kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
Mengulas keputusan PRN Johor, Saifuddin menegaskan dakwaan kononnya rakyat menolak PH kerana prestasi pentadbiran di Persekutuan sama sekali tidak tepat.
"Rakyat tidak mengundi PH akibat politik ketakutan yang dirancang secara halus oleh kelompok ekstremis yang memperalatkan sentimen Melayu dan Islam untuk kembali berkuasa," tegas beliau.
Pada masa sama, Saifuddin menyifatkan BN yang sebenarnya bersikap seperti ‘abang besar’ dalam Kerajaan Perpaduan, walaupun jumlah kerusi Parlimen dimiliki parti itu jauh lebih kecil berbanding PH.
Malah beliau mendakwa, kelewatan pelaksanaan reformasi bukan berpunca daripada PH, sebaliknya dari sikap sebahagian pimpinan BN yang masih menghalang usaha pembaharuan.
"Masih ada pimpinan BN yang menghalang reformasi sepenuhnya kerana bimbang sistem yang lebih telus akan menutup ruang untuk mereka kembali berkuasa penuh pada masa hadapan.
"Ini berbeza dengan kerjasama dengan blok Sabah dan Sarawak di mana Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) lebih ikhlas memastikan agenda kerajaan dilaksanakan demi kepentingan rakyat," katanya.
