"Jangan putar, kepentingan 85% rakyat terbawah dipertahan" - PM
- Suara Keadilan

- Oct 29, 2024
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak tindakan Ahli Parlimen Pas yang membuat dakwaan melulu terhadap kerajaan berhubung dasar tatakelola tanpa merujuk kepada fakta sebenar, sebaliknya hanya berdasarkan hantaran di media sosial seperti TikTok dan WhatsApp.
Perdana Menteri berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap soal tatakelola terutama membabitkan kepentingan 85% rakyat terbawah yang masih memerlukan pengagihan dari segi subdisi.
"Seperti mana saya dengar ucapan YB Pasir Puteh sebelum ini, bahawa YAB Menteri Kewangan tidak ikut tatakelola dalam pengagihan kontrak kepada D’saji dan kepada Bukit Gantang.
"Tidak benar sama sekali. Saya yang sign (tanda tangan), saya tahu. Ini dengar daripada mana? Oh dengar daripada TikTok, ini belajar mana ini? TikTok, seorang itu pula WhatsApp. Tidak merujuk fakta.
"Tapi belajar, kalau sebut baca Al-Quran, orang tahu surah mana. Baca hadits, rujukan sanad di mana? Tapi apabila bercakap atas nama Islam, rujuk Quran, bila hentam tidak peduli. Ini yang saya bangkitkan," katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menggesa pihak pembangkang tidak memutarbelitkan fakta dan membuat tuduhan melulu terhadap kerajaan.
"Jadi jangan pusing, jangan putar, jangan buat tuduhan melulu di Dewan ini," tegasnya.
Terdahulu kepada soalan tambahan tambahan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pas-Pasir Puteh) mengenai mekanisme pelaporan awam dan audit kerajaan bagi menghalang ketirisan pengagihan subsidi bersasar RON 95 dan pelaksanan cukai dividen, Anwar menyatakan beliau rungsing apabila banyak pihak tidak mempertahankan golongan bawahan 85%.
Sebaliknya kata beliau, banyak pihak hanya mengutamakan nasib pemilik saham bernilai RM2 juta dalam syarikat.
"Kita hanya fikir, ini yang hendak dipertahan, ini apa dia? Orang yang punyai milik saham RM2 juta, ya itu dalam satu syarikat, bukan syarikat dia, bukan bangunan dia, bukan keuntungan yang lain, daripada milik saham," ujarnya.
Dalam hal ini, Anwar mempersoalkan adakah negara progresif perlu menafikan keperluan mengenakan cukai dividen bagi individu yang memiliki saham bernilai berjuta-juta ringgit.
"Jadi ini isu dia. Jadi saya harap Ahli Yang Berhormat kalau ada cadangan, bagi cadangan lain. Tapi jangan cadangan, tidak boleh (kenakan) cukai orang kaya. Ini saya rasa satu perkara yang sangat aneh dan bertentangan dengan prinsip yang kita hendak tegakkan, pengagihan kekayaan secara adil," ujarnya.
Dalam soal tatakelola jelas beliau, pelaksanaan subsisi bersasar bagi petrol RON95 adalah sangat telus kerana 85% rakyat tidak terlibat dengan kenaikan harga bahan api itu.









Comments