Jangan pilih-pilih setia pertahan raja, agama demi kepentingan politik - MB
- Azuan Ab Rahman

- May 22
- 1 min read

Semua pihak termasuk pembangkang digesa menghentikan amalan setia berpilih-pilih dalam mempertahankan Raja, agama dan bangsa hanya apabila menguntungkan kedudukan politik mereka.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) memberi peringatan itu terhadap sesetengah pihak yang menurutnya mengabaikan kesetiaan kepada institusi diraja apabila tidak memihak kepada kepentingan puak mereka sendiri.
"Golongan sama membisu serta menikus kerana politik ketika pihak luar menghina dan mencela kewibawaan kewibawaan Institusi Diraja Selangor," katanya dalam kenyataan sempena menjunjung kasih atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sempena Aidiladha.
Sementara itu menurut Amirudin, titah Baginda Sultan Selangor hadir pada waktu amat penting ketika wujud kecenderungan segelintir pihak meniup api perkauman, memperalat sentimen agama dan institusi diraja demi politik sempit.
Justeru seluruh rakyat bertanggungjawab memelihara keamanan, kesejahteraan dan kestabilan negeri serta negara.
"Malaysia dibina bukan atas kebencian kaum ataupun ketakutan agama, tetapi atas semangat muafakat, persefahaman antara pelbagai latar belakang, dan keluhuran undang-undang yang menerima asas pembinaan Malaysia," katanya.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru rakyat pelbagai kaum sentiasa menghormati sensitiviti antara satu sama lain demi terus memelihara keharmonian dan kestabilan negara.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan semasa yang menyaksikan terlalu banyak pertelingkahan dalam kalangan ahli politik sehingga menimbulkan keresahan rakyat.
Dalam pada itu, Amirudin menegaskan Selangor akan terus berpegang kepada semangat perpaduan, kesederhanaan dan penghormatan terhadap Raja Berperlembagaan serta kedaulatan undang-undang.
Beliau turut berharap Aidiladha tahun ini mengingatkan semua pihak bahawa pengorbanan terbesar dalam sebuah negara majmuk ialah keberanian untuk menolak kebencian.
"Perpaduan rakyat bukanlah suatu perkara yang boleh diambil mudah tetapi harus dipegang dan diperjuangkan oleh setiap rakyat bagi masa depan bersama," katanya.




Comments