Jangan lindungi kelemahan TH atas nama Melayu, lindungi pendeposit - Mahfuz
- Suara Keadilan

- 22 hours ago
- 2 min read

Kelemahan dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak seharusnya dilindungi atas nama mempertahankan maruah Melayu.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH perlu dilihat sebagai usaha membetulkan kelemahan sistem dan memastikan kepentingan pendeposit terus dilindungi.
"Apabila kita bercakap tentang kelemahan pengurusan Tabung Haji, ada pimpinan politik Melayu (pembangkang) kata kerajaan menghina dan menjatuhkan imej Melayu.
"Soalnya, sejak bila membongkar kelemahan seorang individu bermakna menghina seluruh bangsa Melayu? Kalau seorang Melayu melakukan kesalahan, adakah kita mesti menutup kesalahannya kerana dia Melayu?" tanyanya dalam kenyataan media.
Menurut Mahfuz, menggunakan bangsa Melayu sebagai alasan untuk menutup kesalahan individu hanya akan merosakkan usaha memperkukuh institusi yang sepatutnya menjadi amanah umat Islam.
Beliau menegaskan bahawa kelemahan perlu diperbaiki dan bukannya disembunyikan semata-mata untuk menjaga nama pihak yang bertanggungjawab.
"Kalau bumbung rumah bocor, jangan marah orang yang tunjuk lubangnya. Baiki bumbung itu. Kalau tidak, kerana mahu menjaga nama tukang yang membinanya, satu rumah akhirnya tenggelam," sinis Mahfuz.
Beliau berkata perkara sama perlu diterapkan dalam isu Laporan RCI Tabung Haji, khususnya apabila melibatkan kepentingan jutaan pendeposit.
"Jangan kerana mahu menjaga nama orang yang pernah mengurus Tabung Haji, kita sanggup membiarkan pendeposit terus menanggung risiko," katanya.
Mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut merujuk dapatan RCI mengenai pengurusan TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 yang didakwa mendedahkan campur tangan politik dalam urusan pentadbiran, pelantikan Lembaga Pengarah, keputusan pelaburan serta penetapan kadar agihan keuntungan yang tidak selari dengan kedudukan kewangan sebenar.
Mahfuz berkata laporan itu turut menyentuh penamatan kontrak bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, pada 5 Mei 2021 dan bekas Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Md Yusof, pada 15 Oktober 2021 sebelum tempoh kontrak masing-masing berakhir.
Menurutnya, RCI turut mempersoalkan penggunaan kuasa Menteri di bawah Seksyen 6(5) Akta Tabung Haji 1995 dalam membatalkan pelantikan ahli Lembaga pada bila-bila masa tanpa memberikan sebab.
"Kesan kepada organisasi ialah penamatan mengejut ke atas figura-figura profesional yang sedang memulihkan TH dilihat mengganggu kestabilan operasi dan tadbir urus dana," katanya.
Dalam pada itu, Mahfuz menegaskan RCI tidak seharusnya dilihat sebagai usaha memburukkan bangsa Melayu, sebaliknya sebagai mekanisme untuk memperbaiki sistem.
"Adakah RCI juga sedang memburukkan Melayu? Sudah tentu tidak.
"RCI sedang membetulkan sistem. Pendepositlah yang mesti kita bela," katanya.
Beliau berkata pihak yang paling terkesan apabila berlaku kegagalan tadbir urus bukan parti politik, sebaliknya pendeposit yang meletakkan kepercayaan dan simpanan mereka dalam TH.
"Bukan PH. Bukan Pas. Bukan Umno. Yang paling terkesan ialah pendeposit Tabung Haji," katanya.
Katanya, ramai pendeposit menyimpan wang sedikit demi sedikit selama bertahun-tahun kerana percaya TH merupakan sebuah institusi yang amanah.
Oleh itu, katanya kelemahan institusi perlu diperbetulkan melalui tindakan sewajarnya termasuk audit terhadap pelaburan bermasalah, menghentikan konflik kepentingan dan menyiasat sebarang salah laku.
"Membongkar kesalahan seorang Melayu bukan menghina Melayu. Menutup kesalahan atas nama Melayu itulah yang merosakkan maruah Melayu.
"Menyelamatkan Tabung Haji bukan menjual Melayu. Memulihkan Tabung Haji ialah menjaga amanah Melayu-Islam," katanya lagi.




Comments