Jangan lawan politik identiti dengan politik identiti - Junaidah
- Sidiqin Omar

- 1 day ago
- 2 min read

KEADILAN tidak seharusnya terperangkap dalam permainan politik identiti dengan membalas politik kaum, agama dan ketakutan menggunakan pendekatan sama, kata Pembahas Sabah, Junaidah Makku (gambar).
Berucap pada Kongres Nasional KEADILAN dalam perbahasan Usul Politik: Wanita Borneo - Mendepani Masa, Pemacu Perubahan, beliau berkata parti perlu berdepan dengan politik sedemikian menerusi prestasi, fakta dan keadilan.
"Kita jangan lawan politik dengan politik identiti. Kita jangan lawan politik identiti dengan politik identiti. Kita lawan dengan prestasi, kita lawan dengan fakta, kita lawan dengan keadilan," katanya.
Menurut Junaidah, kepelbagaian masyarakat di Sabah membuktikan perbezaan kaum, budaya dan kepercayaan tidak menghalang rakyat untuk hidup bersama secara harmoni.
"Kalau mahu melihat kepelbagaian boleh hidup bersama, saya jemput datang ke Sabah. Kadazan Dusun, Murut, Bajau, Melayu, Cina, Lun Bawang dan pelbagai lagi masyarakat berbeza budaya dan kepercayaan boleh duduk bersama.
"Itulah Borneo dan itulah Malaysia yang kita pertahankan," katanya.
Beliau berkata, politik yang memainkan sentimen kaum, agama dan ketakutan tidak seharusnya menjadi asas perjuangan KEADILAN, sebaliknya parti perlu membuktikan keupayaannya melalui pencapaian yang benar-benar dirasai rakyat.
Dalam pada itu, Junaidah turut mengingatkan bahawa kemajuan ekonomi perlu dinilai berdasarkan kesannya kepada kehidupan rakyat, khususnya masyarakat di Sabah.
Katanya, kadar kemiskinan mutlak Sabah sememangnya menurun daripada 19.7 peratus pada 2022 kepada 17.7 peratus pada 2024, namun Sabah masih mencatat kadar kemiskinan tertinggi antara negeri.
"Di belakang angka itu ada ibu, pekebun, peniaga kecil dan wanita yang membesarkan keluarga sambil mencari nafkah.
"Wanita Sabah dan Sarawak bukan tidak mahu bekerja. Tetapi kadang-kadang modal tidak sampai, latihan tidak sampai, teknologi tidak sampai dan pasaran tidak sampai," katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mengubah pendekatan daripada sekadar memberi bantuan untuk kelangsungan hidup kepada usaha memperkasa rakyat supaya mampu berdikari.
"Latih mereka, biayai mereka, digitalkan mereka dan hubungkan mereka kepada pasaran. Jangan ukur kejayaan hanya dengan berapa orang hadir kursus, tetapi ukur berapa pendapatan mereka meningkat.
"Itulah report card yang rakyat mahu lihat," katanya.
Junaidah turut menegaskan pembangunan Sabah perlu dirasai sehingga ke kawasan pedalaman, termasuk dari segi jalan raya, bekalan air dan elektrik, internet, pendidikan serta peluang ekonomi.
"Bagi seorang ibu di pedalaman, reformasi bukan sekadar apa yang dijanjikan di Kuala Lumpur. Reformasi ialah apabila kehidupan anaknya menjadi lebih baik," katanya.
Junaidah mencadangkan supaya KEADILAN membangunkan pelan kepimpinan wanita dan generasi muda Borneo dengan mengenal pasti bakat dari universiti, kampung, pertubuhan bukan kerajaan, kalangan usahawan muda serta bakat digital.
Katanya, bakat tersebut perlu diberikan latihan dalam bidang dasar awam, ekonomi, komunikasi politik, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan tatakelola.




Comments