top of page

Jangan gopoh tuntut perubahan, laksana reformasi ambil kira keupayaan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 3 min read

Semua pihak diingatkan supaya tidak gopoh menuntut perubahan tanpa mengambil kira keupayaan negara, kesediaan rakan-rakan dalam kerajaan serta perbezaan keutamaan antara negeri dan kelompok masyarakat.


Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan dalam sebuah kerajaan yang berteraskan kerjasama pelbagai parti memerlukan rundingan, kesabaran dan pertimbangan terhadap keadaan setempat.


"Kegopohan membawa perubahan seperti diuar-uarkan oleh sesetengah pihak, kalau pun andai kata mereka ikhlas, bersungguh-sungguh, harus meneliti keupayaan kita, kesediaan rakan-rakan kita.


"Ini bukan Parti KEADILAN menjadi induk memerintah semua. Parti (ini) yang mesti berunding," katanya dalam Ucapan Dasar Presiden dan Perasmian Kongres Nasional KEADILAN 2026 di MITC, Melaka.


Menurut Anwar, keutamaan pembangunan dan perubahan tidak boleh diseragamkan di seluruh negara kerana setiap negeri serta masyarakat mempunyai keperluan berbeza.


Datuk Ngeh Ko Ham (DAP) dan DS Hajiji (GRS) antara delegasi yang hadir pembukaan kongres nasional
Datuk Ngeh Ko Ham (DAP) dan DS Hajiji (GRS) antara delegasi yang hadir pembukaan kongres nasional

"Ada keutamaan di Kelantan yang tak sama dengan di Sabah, ada keperluan melakukan perubahan kritikal di Selangor tidak semestinya di Johor.


"Senarai keutamaan, fiqh aulawiyat orang Melayu tidak sama dengan Cina atau Iban atau Kadazan," katanya.


Anwar berkata pendekatan berperingkat perlu diambil dalam melaksanakan perubahan bagi memastikan kestabilan politik dan keselamatan negara terus terpelihara.


"Bila kita pegang pemerintahan, sebab itu jangan gopoh. Itu harus dihadam kerana ulasan berikutnya seperti pengharaman arak oleh Rasulullah SAW kerana pengharaman itu pun berperingkat.


"Kerana jawab Saidina Umar bin Abdul Aziz, (khalifah Bani Umaiyah), ialah kestabilan, keselamatan. Kita boleh pecah tembok penghalang tetapi tak jamin kestabilan politik dan keselamatan negara," katanya.


Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa pihak yang menuntut perubahan tetap dialu-alukan, namun mereka perlu mengakui bahawa pelbagai reformasi telah dilaksanakan kerajaan.


"Kita boleh senaraikan keberanian Reformasi MADANI. 60 tahun sebelumnya, hal-hal sepatutnya dilakukan tidak dilakukan. Jadi kalau kita menegur, menggesa, mendesak jangan memadamkan yang telah dilakukan," katanya.


Antara reformasi yang disenaraikan Anwar termasuk pindaan Akta Audit, Akta Perkhidmatan Parlimen, Akta Iltizam Kecekapan, reformasi birokrasi, pembanterasan rasuah nasional, Putera35 yang menyentuh kepentingan Bumiputera, Akta Kredit serta perlindungan pekerja gig.


"Apakah sudah selesai? Tidak. Maknanya walau merdeka di Tanah Melayu hampir tujuh dekad, ada ratusan perubahan yang perlu dilakukan. Dalam tiga tahun, ada yang mengandaikan semua harus dilakukan sekarang," katanya.


Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan juga perlu berdepan dengan cabaran ekonomi global yang tidak semestinya dapat dijangka, termasuk turun naik harga minyak dunia akibat peperangan di rantau Teluk Parsi.


Beliau berkata unjuran harga minyak bagi 2026 dibuat pada paras AS$70 setong, sedangkan apabila berlaku perang Amerika Syarikat dan Iran harga minyak pernah mencecah AS$114 setong pada awal tahun 2026.


"Kalau tahu ekonomi, unjuran itu semua perlu dikaji. Tetapi Malaysia masih berkeras kerana kita mahu memenuhi reformasi. Kita tidak mahu kerangka ekonomi membebankan rakyat.


"Maka dalam keadaan harga minyak melambung, Malaysia adalah satu-satu negara yang sanggup hadapi risiko dengan menurunkan harga petrol," katanya.


Menurut Anwar, pendekatan tersebut merupakan antara usaha kerajaan untuk memastikan reformasi ekonomi tidak mengorbankan kepentingan rakyat.


Beliau berkata, pencapaian ekonomi tidak seharusnya hanya diukur melalui angka dan statistik, sebaliknya kerajaan perlu melihat sendiri realiti kehidupan rakyat.


"Ada orang kata jangan lihat angka yang mengkhayalkan, betul. Angka sebenarnya di bawah. Sebab itu sebagai PM saya cuba jejak di bumi nyata.


"Tiap hari Jumaat sebelum solat Jumaat saya tidak ke hotel lima bintang makan, saya ke gerai warung untuk bersama rakyat," katanya.


Beliau berkata pertemuan secara langsung dengan rakyat membolehkan kerajaan memahami tekanan kos sara hidup yang masih dirasai masyarakat.


“Tiap majlis saya tanya berapa harga bawang, berapa kos sara hidup, hampir semua mengatakan sebahagiannya terkawal tetapi hampir semua mengakui kos sara hidup meningkat.


"Saya tidak nafikan. Kita belajar dari pakar ekonomi, ya. Dari penganalisis, ya. Tetapi lebih banyak melihat langsung rakan-rakan, keluarga yang terpaksa membanting tulang," katanya.


Justeru itu, Anwar berkata kerajaan meningkatkan bantuan kepada rakyat melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), selain memperluas program Jualan Rahmah MADANI.


"Maka kita telah tingkatkan bantuan SARA, STR RM15 bilion setahun. Jualan Rahmah MADANI setiap minggu di semua DUN," katanya.


Reformasi sistem gaji penjawat awam juga disentuh. Kata Anwar reformasi itu tertangguh selama 12 tahun, dengan kerajaan mengambil kira peningkatan kos sara hidup, sewa rumah dan keperluan kehidupan.


"Gaji perkhidmatan awam yang tertangguh 12 tahun, kalau tidak ada hati nurani kita yang melihat rakan-rakan bekerja tungkus-lumus, dengan kos sara hidup meningkat, sewa rumah meningkat, sebab itu antara keutamaan kita mengkaji semula sistem gaji.


"Peruntukan sahaja tahun ini, tambahan RM18 bilion," katanya.


Anwar berkata penetapan gaji minimum untuk pekerja GLC dan GLIC pula sebanyak RM3,100.


Katanya, memang ada dorongan untuk memperbaiki lagi, tetapi negara ada keterbatasannya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page