Jangan buang tenaga layan pemimpin lemahkan parti dari dalam - Saifuddin
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
KEADILAN perlu meneruskan rencana politik dan tidak terperangkap dalam polemik dalaman yang akan melemahkan kekuatan parti.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, masa dan tenaga parti itu tidak wajar dibazirkan hanya untuk melayan karenah segelintir pemimpin yang dilihat cuba melemahkan parti setelah mereka kehilangan pengaruh.
Justeru, sebagai sebuah parti politik yang kini menerajui pentadbiran negara, KEADILAN jelasnya mesti belajar sedikit daripada bekas rakan politiknya, Pas dalam meneruskan rencana politik ke hadapan.
"Sebagaimana Pas menyedari kedudukan politik mereka tidak akan bertambah baik jika terus melayan kerenah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), lalu melakukan penambahbaikan dalaman Perikatan Nasional (PN), KEADILAN juga perlu bergerak melewati sosok satu dua pemimpin yang cuba melemahkan parti.
"Terlalu banyak tenaga parti dibazirkan untuk melayan tindakan segelintir pemimpin yang merajuk atau tidak berpuas hati, sedangkan ketika mempunyai kedudukan mereka gagal memperkukuh akar umbi," katanya dalam kenyataan.
Menerusi kenyataan sama Saifuddin menegaskan, parti itu telah mengambil keputusan besar dan penting tahun lalu untuk menyusun kepimpinan organisasi melalui proses pemilihan yang harus diterima oleh semua pihak.
Sehubungan itu tegasnya, sebarang dakwaan atau rasa tidak puas hati pihak yang kalah wajar disalurkan melalui saluran dalaman parti, bukannya dengan tindakan terbuka yang menjejaskan imej serta maruah organisasi.
"Cukuplah anggota yang dipilih dengan majoriti besar ditekan dengan pelbagai pertuduhan oleh kelompok yang sejak awal tidak berniat untuk menang, sebaliknya hanya mahu menggunakan ruang demokrasi bagi mencalarkan parti," ujarnya.
Mengimbau pengalaman lalu, Saifuddin berkata, KEADILAN pernah berdepan saat sukar termasuk hanya memenangi satu kerusi pada Pilihan Raya Umum 2004, namun tetap bangkit dan terus mara sehingga kini menerajui pentadbiran negara di bawah kepimpinan Presiden yang juga Perdana Menteri.
"Isu kita hari ini bukan lagi soal siapa yang mahu bersama parti pada masa hadapan, tetapi bagaimana menyiapkan kerangka dan model organisasi yang kukuh untuk mendukung pentadbiran negara bagi penggal mendatang.
"Tiada sesiapa lebih besar daripada organisasi dan tiada yang lebih bermakna daripada perjuangan. Sikap merasakan diri paling betul dan paling layak menjadi penyelamat tidak boleh dijadikan asas perjuangan, sebaliknya kekuatan parti terletak pada daya tahan kolektif dalam menghadapi cabaran politik.
"Parti ini telah ditinggalkan ramai pimpinan sebelum ini. Kita mungkin terhincut sedikit, tetapi tidak akan tempang," tambahnya.




Comments