top of page

'Jangan berlakon jadi mangsa, Pas kena jawab bagaimana krisis PN bermula'

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
59 minutes ago
3 min read

Pas tidak seharus cuba menggambarkan dirinya sebagai mangsa susulan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) terhadap Perikatan Nasional (PN), sebaliknya perlu menjelaskan bagaimana krisis dalaman gabungan itu bermula.


Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata tindakan ROS itu berlaku selepas tercetus pertikaian antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk berhubung kedudukan Bersatu sebagai parti anggota PN.


"Usah ‘play victim’ kerana pemangsa sebenar adalah Pas


"Bersatu jadi mangsa kerakusan dan ketamakan percaturan politik draconian Pas - Wawasan," kata Hisyamuddin dalam muat naik di media sosial.


Beliau berkata pertikaian tersebut menjadi semakin terbuka selepas Bersatu tidak dilibatkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu selain keputusan rundingan pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang hanya membabitkan Pas, Parti Wawasan Negara (Wawasan), Gerakan dan MIPP.


"Takiyuddin (Setiausaha Agung Pas) dan PN kini cuba memberi gambaran seolah-olah tindakan ROS terhadap PN datang secara tiba-tiba.


"Tetapi kronologinya jelas. Semua ini sebab Pas tendang Bersatu keluar PN, ajak Wawasan masuk di PRN N9," katanya.


Menurut Hisyamuddin, Bersatu kemudiannya membuat aduan kepada ROS pada 11 Ogos lalu, antaranya berkaitan isu tidak dilibatkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai serta status keanggotaannya dalam gabungan berkenaan.


Perkara itu turut dilaporkan ROS sebagai antara isu dalam aduan Bersatu yang diterima pada 11 Ogos.

Mohd Hisyamuddin Ghazali
Mohd Hisyamuddin Ghazali

Beliau berkata, pada ketika itu Bersatu menegaskan kedudukannya sebagai parti anggota PN masih sah manakala Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengambil keputusan untuk menggunakan lambang Bersatu pada PRN Negeri Sembilan selepas mendakwa parti itu tidak dilibatkan dalam rundingan pembahagian kerusi.


"Takiyuddin dan Shamsuri (Pengerusi PN) sendiri kemudiannya memberikan keterangan kepada ROS berhubung isu tersebut," katanya.


Hisyamuddin berkata perkembangan seterusnya menyaksikan ROS mengeluarkan dua dokumen berhubung kedudukan PN.


Menurutnya, surat pertama bertarikh 22 September 2026 adalah notis di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 yang memberikan PN tempoh 30 hari untuk mengemukakan representasi mengapa pendaftarannya tidak patut dibatalkan.


"Surat kedua bertarikh 23 September 2026 muncul pula perintah penggantungan di bawah Subseksyen 13(2A) yang menurut surat daripada PN memaklumkan penggantungan semua aktivitinya sehingga selesai," katanya.


ROS dalam kenyataan hari ini menjelaskan bahawa pendaftaran PN tidak dibatalkan, sebaliknya gabungan itu dikenakan perintah penggantungan semua kegiatan berkuat kuasa 23 September.


ROS turut menegaskan notis bertarikh 22 September bukan keputusan pembatalan pendaftaran.


Hisyamuddin mengingatkan supaya kedua-dua tindakan berkenaan tidak dicampuradukkan kerana notis 22 September memberikan ruang kepada PN untuk menjawab manakala perintah 23 September membabitkan penggantungan aktiviti.


"Jadi jangan campurkan dua perkara, notis 22 September, ROS bagi peluang 30 hari untuk PN menjawab.


"Perintah 23 September, penggantungan aktiviti PN, bukannya pembubaran PN," katanya.


Beliau berkata kronologi tersebut menunjukkan ROS bukan pihak yang mencetuskan pertikaian antara Pas dan Bersatu, sebaliknya hanya menjalankan proses susulan aduan yang dibuat Bersatu.


"Bersatu sendiri membuat aduan. ROS pula menjalankan proses. Pimpinan PN dipanggil memberi penjelasan. Kemudian ROS mengeluarkan dua notis.


"Itulah kronologinya," katanya.


Hisyamuddin turut mempersoalkan tindakan menyalahkan Kerajaan Pusat susulan perkembangan berkenaan sedangkan pertikaian mengenai kedudukan Bersatu dalam PN sudah menjadi isu terbuka sebelum ROS mengambil tindakan.


Beliau berkata persoalan yang perlu dijawab ialah siapa sebenarnya membuat keputusan berhubung kedudukan Bersatu dalam PN serta asas peruntukan Perlembagaan PN yang digunakan.


"Apabila berlaku usaha mengubah kedudukan Bersatu dalam PN dan pada masa sama struktur serta kepimpinan gabungan itu berubah, siapa sebenarnya yang membuat keputusan tersebut dan atas asas peruntukan mana dalam Perlembagaan PN?


"Itulah soalan yang perlu dijawab," katanya.


Hisyamuddin turut menolak dakwaan bahawa tindakan ROS mempunyai kaitan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebaliknya meminta perkara itu dilihat berdasarkan kronologi.


"Tak ada kaitan tarikh pembubaran DUN Melaka dengan aduan Bersatu ke ROS. Rujuk kronologi," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page