top of page

'Jangan angkat perasuah jadi wistleblower' - Shahbudin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 36 minutes ago
  • 2 min read
Shahbudin (kiri) menggesa Albert Tei disiasat kerana mentohmah Perdana Menteri dan Ketua Pesuruhjaya SPRM
Shahbudin (kiri) menggesa Albert Tei disiasat kerana mentohmah Perdana Menteri dan Ketua Pesuruhjaya SPRM

Ahli perniagaan Albert Tei yang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dengan tuduhan memberi rasuah baru baru ini tidak seharusnya digelar sebagai ‘whistleblower’.


Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur), Shahbudin Embun berkata, tindakan beliau kononnya 'membongkar' rasuah melalui media selepas didakwa melakukan perbuatan tersebut amatlah tidak wajar.


Menurut beliau, tindakan Albert Tei mengeluarkan dakwaan sensasi di media sosial bukanlah satu bentuk pendedahan berintegriti, sebaliknya cubaan mengalihkan perhatian selepas berdepan tindakan undang-undang.


"Kalau benar ada rasuah, buat laporan, bukan cipta naratif, tular klip video separuh masak," katanya selepas membuat laporan polis ke atas Albert Tei di IPD Dang Wangi petang tadi.


Beliau turut mendedahkan Albert Tei pernah bertemu dengan beberapa individu termasuk pemimpin pembangkang Tun Dr Mahathir Mohamad yang tentunya mempunyai motif tertentu melakukan pendedahan.


Shahbudin memberi amaran bahawa rakyat perlu berhati-hati berikutan Albert Tei mempunyai banyak kepentingan perniagaan termasuk permohonan lesen meneroka mineral di Sabah yang gagal, sehingga beliau mendedahkan sekumpulan ahli politik negeri itu yang didakwa telah dirasuahnya untuk mendapatkan lesen.

Anggota Sekpur menunjukkan laporan polis ke atas Albert Tei
Anggota Sekpur menunjukkan laporan polis ke atas Albert Tei

"Kalau kita dapat sesuatu berita, kita kena buat penelitian background. AI (kecedasan buatan) boleh bantu lakukan. Jangan biar perasuah guna media sosial untuk alih perhatian," ujarnya.


Tambahnya, tindakan Albert Tei menularkan video melibatkan nama Perdana Menteri (PM) kononnya mengarahkan beliau melalui Setiausaha Politik PM untuk merakam video ahli politik Sabah hanyalah tohmahan semata mata.


Albert juga, kata Shahbudin mengaitkan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam naratifnya.


"Apa kata kalau Ketua Menteri (Sabah) tidak batalkan lesen (mineral) hingga dia mengamuk dan keluar cerita, sehingga libat nama PM? Libat nama Tan Sri Azam Baki untuk dia melengkapkan pesepsi. Ini satu perkara tidak patut jadi precedent (duluan).


"Peniaga pakat dengan kawan kawan, kumpul duit, rasuah pegawai... kalau dapat (lesen) makan besar. Kalau tak (maka) didedah di media. Ini tidak boleh dibiar berlaku," tegasnya.


Dalam pada itu, Shahbudin turut menyelar tindakan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya yang mempertahankan Albert Tei sebagai pemberi maklumat.


"Latheefa Koya bela Albert, kata dia whistleblower. Mana ada. Kamu perasuah, kamu tidak layak diberi imuniti sebagai whistleblower.”


Sebaliknya, Shahbudin mempertahankan kepimpinan SPRM di bawah Azam Baki yang ternyata berjaya mengembalikan berbilion ringgit wang negara yang tiris akibat korupsi selama puluhan tahun.


"Ketua Pengarah Tan Sri Azam Baki buat kerja terbaik untuk kita. Dia bertanggungjawab bawa kembali RM15.5 bilion.


"Bagi saya, selagi Tan Sri Azam masih fit untuk handle, biarkan dia," katanya.


Sehubungan itu, dalam laporan polisnya, Shahbudin mahu siasatan dilakukan ke atas Albert Tei di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Seksyen 233 kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dengan memuat naik kandungan yang bersifat fitnah, palsu atau menyebabkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Juga Kanun Keseksaan (Akta 574), Seksyen 499 & 500 kerana mengeluarkan dakwaan berunsur fitnah yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page