Jalur Gemilang simbol perpaduan, jangan jadikan unsur perpecahan – DAPSY
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Syaheera Ghafar, menggesa seluruh rakyat Malaysia agar lebih sensitif dan peka terhadap cara pemaparan serta pemasangan Jalur Gemilang, terutamanya ketika negara mendekati sambutan Hari Kebangsaan.
Beliau menegaskan, kecuaian atau kesilapan dalam memasang atau memaparkan bendera negara, sama ada disengajakan atau tidak, tidak seharusnya menjadi kebiasaan.
"Sengaja atau tidak, kecuaian, kelalaian, ketidakpekaan atau kesilapan tidak boleh lagi terus-menerus menjadi kebiasaan dalam masyarakat apabila membabitkan Jalur Gemilang, lambang kemegahan tanah air ini yang perlu setiap daripada kita hormati," katanya dalam kenyataan hari ini.
Syaheera mengingatkan bahawa insiden membabitkan Jalur Gemilang tidak mengenal kaum atau agama, namun sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang mensensasikan isu tersebut - termasuk memuat naik video atau laporan lama - hanya akan membuka ruang kepada ahli politik tertentu membuat kenyataan berbaur perpecahan.

"Akhirnya, tanpa kita sedar inilah punca sesetengah ahli politik mengambil kesempatan membuat kenyataan rasis yang meretakkan perpaduan antara masyarakat.
"Inilah juga punca Jalur Gemilang terpalit dengan bermacam-macam insiden perpecahan, balas-membalas kenyataan sehingga hilang matlamat asal (pemasangan Jalur Gemilang). Hal ini amat tidak patut berlaku," tegasnya.
Menurut beliau, di era media sosial, kecenderungan untuk memviralkan isu tanpa menyemak fakta atau mendidik secara berhemah semakin membimbangkan.
Sikap tersebut, katanya, mengalihkan tumpuan daripada matlamat asal Jalur Gemilang sebagai lambang kehormatan, perpaduan dan keharmonian negara.
"Jalur Gemilang nama bendera tanah air kita. Ia sepatutnya dijadikan lambang kehormatan, perpaduan dan keharmonian negara ini, bukannya terpalit dengan perbalahan, apalagi perpecahan dalam kalangan masyarakat," kata beliau lagi.