Jalan Jiwa Murni jadi ‘Jalan Jiwa Merana’, KEADILAN Kapit mahu penyelenggaraan
- Suara Keadilan
- 15 hours ago
- 2 min read

Isu penyelenggaraan Jalan Jiwa Murni di Sarawak kembali dibangkitkan apabila laluan utama yang menghubungkan kawasan pendalaman Merit, Belaga dan Baleh didakwa semakin uzur dan tidak diselenggara dengan baik.
Ketua Cabang KEADILAN Kapit, Khusyairy Pangkas berkata, keadaan jalan tersebut yang rosak teruk bukan sahaja menyukarkan urusan harian masyarakat pedalaman, malah membahayakan keselamatan pengguna.
"Penyelenggaraan Jalan Jiwa Murni semakin membelenggu kehidupan masyarakat pendalaman. Jalan ini satu-satunya penghubung utama, namun tidak diselenggara apatah lagi dinaik taraf," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, masyarakat setempat kini menggelar laluan itu sebagai ‘Jalan Jiwa Merana’ dan ‘Jalan Maut’ susulan keadaan jalan yang berlubang, licin serta ditutupi semak samun di beberapa kawasan.

"Saban hari komuniti terbabit terpaksa menerjah jalan rosak berlubang, licin, dan semak samun menutupi jalan di kawasan tertentu.. Kemalangan persendirian di Jalan Jiwa Murni kerap kerap berlaku dan ada beberapa kes meragut nyawa pengguna jalan Jiwa Murni," ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan status peruntukan yang dijanjikan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi kerja naik taraf jalan tersebut yang dianggarkan bernilai RM85 juta di bawah peruntukan khas penyelenggaraan jalan kerajaan persekutuan (MARRIS).
"Persoalannya, adakah Jalan Jiwa Murni sudah didaftar dalam sistem MARRIS?" soalnya.
Dalam pada itu, Khusyairy turut menyentuh rancangan Kerajaan Sarawak untuk mengambil alih 1,673.4 kilometer jalan pembalakan di Bahagian Kapit bagi diwartakan sebagai jalan negeri.
"Apabila jalan pembalakan menjadi jalan negeri, permohonan peruntukan MARRIS harus dipercepatkan. Setakat awal tahun 2026, berapa kilometer telah diambil alih sebagai jalan negeri atau jalan awam?" katanya lagi.
Beliau turut mencadangkan agar setiap dana MARRIS dipantau rapi oleh Pegawai Pengawal kementerian berkaitan memandangkan dana tersebut tertakluk kepada Akta Tatacara Kewangan 1957.
"Setiap Tahun Kewangan, Audit Negara juga harus periksa dan audit penggunaan dana MARRIS," tegas beliau.
Menurutnya, isu ini perlu diberi perhatian serius demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat pedalaman yang bergantung sepenuhnya kepada jalan tersebut sebagai nadi perhubungan utama.





