top of page

Jadi negara berilmu, Kerajaan MADANI sedia akses bahan bacaan berkualiti

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 55 minutes ago
  • 2 min read

Kerajaan MADANI komited memperkukuh budaya membaca dan memperluaskan akses kepada bahan bacaan berkualiti sebagai asas penting dalam membina masyarakat berilmu serta memperkasa ketamadunan bangsa.


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (gambar) berkata kehebatan sesebuah tamadun tidak dapat dipisahkan daripada tradisi ilmu yang kukuh dengan budaya membaca menjadi titik permulaan kepada pembentukan masyarakat berilmu.


"Kehebatan ketamadunan bangsa dibangunkan di atas tradisi ilmu yang kukuh dan ia harus bermula dengan budaya membaca.


"Atas kesedaran itu, akses bahan bacaan perlu sentiasa ditingkatkan untuk manfaat seluruh rakyat," katanya dipetik ketika mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LITR.AI) 2026 di Kuala Lumpur, semalam.


Fadhlina berkata komitmen kerajaan dalam memperkukuh budaya ilmu diterjemahkan menerusi pelbagai inisiatif termasuk kesinambungan program baucar buku kepada pelajar dan mahasiswa.


Beliau berkata gagasan besar bagi melahirkan generasi berilmu diserlahkan lagi menerusi langkah Kerajaan MADANI meneruskan inisiatif baucar buku yang memberi manfaat kepada pelajar sekolah menengah dan penuntut di institusi pengajian tinggi.


Selain itu, kata beliau kerajaan turut menyediakan peruntukan khas bagi memastikan kanak-kanak mendapat akses awal kepada bahan bacaan berkualiti.


"Peruntukan RM10 juta turut disediakan bagi tujuan penyediaan bahan bacaan berkualiti untuk anak-anak prasekolah," katanya.


Mengenai peranan perpustakaan dalam era digital dan kecerdasan buatan, Fadhlina menegaskan penyediaan bahan bacaan semata-mata tidak mencukupi tanpa pengurusan yang berkesan serta sokongan tenaga profesional.


"Akses kepada bahan bacaan sahaja tidak mencukupi. Di sini, peranan penting pustakawan adalah dituntut bagi memastikan perpustakaan dan bahan bacaan berada dalam keadaan terbaik, supaya dapat diakses dengan mudah oleh masyarakat," katanya.


Menurut beliau, profesion pustakawan kini jauh lebih luas daripada fungsi tradisional mengurus koleksi buku kerana mereka turut memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat mengenai literasi maklumat dan teknologi baharu.


"Pustakawan adalah kurator ilmu serta pakar literasi maklumat, kecerdasan buatan dan digital yang memudahkan pembelajaran, seterusnya menghubungkan masyarakat dengan sumber ilmu yang sahih dan berwibawa," katanya.


Beliau turut menyifatkan pustakawan sebagai tulang belakang kepada institusi perpustakaan yang menjadi pusat pengumpulan dan penyebaran ilmu untuk pembangunan negara.


"Pustakawan adalah nadi utama perpustakaan yang berfungsi sebagai gudang khazanah ilmu bagi membina tamadun yang hebat," katanya.


Fadhlina berkata usaha memperkasakan budaya membaca, memperluas akses kepada ilmu serta mengangkat peranan perpustakaan dan pustakawan perlu terus diperkukuh bagi memastikan agenda melahirkan masyarakat berpengetahuan dapat direalisasikan sejajar aspirasi Malaysia MADANI.


LITR.AI 2026 menghimpunkan penggiat bidang kepustakaan, penterjemahan, akademik dan teknologi bagi membincangkan perkembangan industri ilmu dalam era kecerdasan buatan (AI).


Simposium itu turut menjadi platform untuk meneroka peranan perpustakaan, penterjemahan karya ilmu dan penggunaan AI dalam memperluaskan akses pengetahuan kepada masyarakat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page