top of page

Isu UEC, tahfiz dipolitikkan: Ramai tidak faham struktur pendidikan negara

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • May 16
  • 2 min read

Polemik berhubung kemasukan lepasan UEC ke IPTA dilihat bercelaru apabila sebahagian pihak mula mengaitkannya dengan institusi tahfiz tanpa memahami struktur sebenar sistem pendidikan negara.


Di media sosial, timbul naratif kononnya kerajaan sedang “menunggang” institusi tahfiz untuk membuka laluan pengiktirafan kepada UEC sedangkan kedua-dua aliran itu mempunyai syarat dan mekanisme kemasukan berbeza yang telah lama diamalkan dalam sistem pendidikan tinggi negara.


Penceramah Kenegaraan dan Penggerak Kesedaran Perlembagaan, Mohd Fadhli Othman berkata, banyak pihak sebenarnya gagal memahami struktur pendidikan negara sehingga timbul tuduhan bahawa kerajaan “tunduk kepada UEC” dan menggunakan institusi tahfiz sebagai alasan untuk memberi pengiktirafan kepada sijil tersebut.


"UEC tak pernah diiktiraf. UEC dan tahfiz kalau nak masuk IPTA wajib bersyarat dan ada kriteria khusus," katanya menerusi hantaran di Facebook


Menurut Mohd Fadhli, ramai yang tersalah faham apabila menganggap semua institusi tahfiz tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedangkan sekolah seperti Sekolah Menengah Agama (SMA), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), maahad kawalan dan tahfiz di bawah kerajaan negeri atau Persekutuan sememangnya telah lama mempunyai aliran akademik serta calon SPM.


"Semua orang dalam dunia pendidikan tahu, sekolah-sekolah tahfiz di bawah kerajaan negeri dan Kementerian Pendidikan (KPM) memang sudah lama ada aliran akademik serta calon SPM," tulisnya.


Beliau menjelaskan isu sebenar membabitkan sebahagian institusi tahfiz persendirian yang tidak menyediakan laluan akademik asas kepada pelajar sehingga menyebabkan mereka berdepan kesukaran untuk menyambung pengajian atau memasuki alam pekerjaan.


"Ada pelajar hafal al-Quran bertahun-tahun, tetapi bila keluar tiada SPM, tiada sijil asas, tiada laluan sambung belajar, dan akhirnya tersepit dalam dunia pekerjaan," katanya lagi.


Mohd Fadhli menegaskan SPM tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman kepada sistem tahfiz.


"SPM bukan musuh tahfiz. Jangan buat seolah-olah ambil Matematik, Bahasa Melayu, Sains atau Sejarah itu merosakkan hafazan," katanya.


Dalam masa sama, beliau mengkritik pihak tertentu yang didakwanya memainkan sentimen agama dan politik bagi menakut-nakutkan masyarakat kononnya institusi tahfiz sedang diserang.


"Ini bukan mempertahankan tahfiz. Ini mempolitikkan tahfiz," bidas beliau.


Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya mempertahankan pendidikan Islam berasaskan fakta dan kefahaman yang tepat, bukannya retorik politik yang boleh mengelirukan rakyat.


"Kalau betul mahu bela pendidikan Islam, bela dengan ilmu dan fakta. Bukan dengan jeritan politik murahan. Jangan kerana kebencian kepada kerajaan, akhirnya masyarakat diperbodohkan dan institusi tahfiz dijadikan bahan bakar propaganda," katanya.


Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjelaskan bahawa lepasan UEC masih boleh memohon kemasukan ke IPTA tertakluk kepada syarat tertentu termasuk keperluan kredit Bahasa Melayu SPM dan Sejarah atau kelayakan setara yang ditetapkan universiti.


Bagaimanapun, penjelasan itu mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial apabila ada pihak mengaitkannya dengan usaha memberi laluan lebih luas kepada lepasan sekolah persendirian Cina, termasuk dakwaan bahawa institusi tahfiz turut akan menerima pendekatan sama.


Bagaimanapun, beberapa pemerhati pendidikan menegaskan bahawa syarat kemasukan pelajar tahfiz dan lepasan UEC adalah dua perkara berbeza yang mempunyai mekanisme penilaian tersendiri mengikut dasar semasa IPTA dan kementerian berkaitan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page