Isu rumah ibadat: Kerajaan Selangor gariskan penyelesaian aman elak persengketaan
- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor dipengerusikan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari pada Khamis tidak sama sekali memutuskan untuk membela penceroboh atau menghalang hak sah pemilik tanah.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) menegaskan, mesyuarat tersebut memutuskan agar sebarang langkah pengosongan atau perobohan struktur dibina tanpa izin hendaklah dilakukan dengan tertib dan teratur berlandaskan undang-undang serta prosedur yang betul.
"Kerajaan negeri sedar bahawa sebarang pembinaan tanpa izin adalah salah di sisi undang-undang dan keadilan mesti dikembalikan kepada pemilik yang berhak.
"Namun, tindakan terburu-buru tanpa penglibatan pihak berkuasa boleh mencetuskan pertelingkahan antara penceroboh dan pemilik tanah, sekali gus menimbulkan konflik yang lebih sukar dikawal," katanya menerusi satu kenyataan.
Kenyataan itu menurut Saifuddin bertujuan untuk menepis prasangka buruk yang sedang disebarkan secara sengaja oleh pihak tidak bertanggungjawab bertujuan menimbulkan kekeliruan rakyat berhubung pendirian Kerajaan Negeri dalam isu tersebut.
Terdahulu, Mesyuarat MKN Negeri Selangor memutuskan agar mana-mana pemilik tanah persendirian yang berdepan pencerobohan terlebih dahulu memfailkan laporan polis supaya siasatan dan tindakan pendakwaan boleh dibuat pihak berkuasa.
Langkah itu juga bagi mengelakkan tercetusnya sebarang insiden yang boleh menggugat keharmonian kaum serta agama di negeri itu.
Saifuddin sementara itu memberi contoh situasi di mana pemilik tanah mengambil keputusan meruntuhkan sendiri stuktur tanpa kehadiran pihak berkuasa, seterusnya dihalang pemilik rumah ibadat dengan tindakan keras.
"Ini berpotensi mencetuskan pergaduhan dan keganasan pada skala yang tidak boleh dijangka, kemudian polis dan penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dipanggil untuk meleraikan pergaduhan atau kekasaran.
"Bukankah lebih elok polis serta penguatkuasa PBT dilibatkan dari awal agar ketenteraman awam dapat dijamin dan tiada pergaduhan berlaku?
"(Justeru) inilah logik asas yang menjadi pertimbangan Kerajaan Negeri dalam keputusan mesyuarat itu yang turut dinasihati oleh wakil Polis Diraja Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia," jelasnya yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Selangor.
Menerusi kenyataan tersebut juga, Saifuddin menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan Negeri tidak berniat untuk menyukarkan proses bagi pemilik tanah menuntut hak mereka, namun berpandangan bahawa segala tindakan mestilah menurut proses undang-undang sedia ada.
"Jika si penceroboh dan tuan tanah kedua-duanya mengambil tindakan tanpa melihat kepada proses undang-undang, fikirkan kesan jangka panjangnya," tambah beliau.









Comments