KDNK suku ketiga tumbuh 6.3%, 'tamparan' kepada pembangkang
- a few seconds ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ekonomi Malaysia mencatat lonjakan luar jangka apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 6.3 peratus bagi suku keempat 2025, mengatasi unjuran awal 5.2 peratus yang menjadi isyarat jelas pemulihan ekonomi berada di landasan kukuh di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan menyifatkan, pencapaian membanggakan itu sebagai satu 'tempelak' buat pembangkang yang sebelum ini meragui malah memperlekeh unjuran KDNK yang dibentang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ia membuktikan bahawa langkah-langkah reformasi, penstabilan fiskal serta keyakinan pelabur terhadap kepimpinan negara semakin kukuh dan nyata berhasil, ketika pembangkang terus dengan pelbagai cubaan menyalakan sentimen perkauman.
"Lebih membanggakan, Malaysia kini dilihat antara negara berprestasi terbaik di Asia Tenggara, menandakan ekonomi kita bukan sahaja pulih, tetapi sedang bergerak laju dengan momentum yang positif," katanya dalam kenyataan hari ini.
Edy Noor menyifatkan segala hujah pembangkang sejak setahun lalu telah kembali 'menampar' mereka dengan realiti kebijaksanaan Datuk Seri Anwar mengembalikan ekonomi Malaysia sebagai pemain utama di Asia Tenggara, sebagaimana yang dilakukan beliau ketika menjadi Menteri Kewangan kali pertama pada 1991 - 1998 lalu.

"Hasil ini bukan hadir dari langit secara berkala, ia adalah kerja keras pentadbiran yang fokus kepada pembangunan, menarik pelaburan berkualiti, memperkasakan industri strategik serta menjaga kestabilan negara dalam suasana global yang mencabar," ujarnya.
Dalam kenyataan sama, beliau juga memuji usaha Kerajaan MADANI untuk membina asas ekonomi yang lebih baik buat rakyat sesuai dengan teknologi terbaharu seperti kecerdasan buatan, tenaga boleh diperbaharui dan sebagainya.
"Kerajaan MADANI jelas sedang membina asas ekonomi yang lebih mampan untuk rakyat, bukan sekadar angka, tetapi membawa harapan kepada peluang pekerjaan, pertumbuhan perniagaan, peningkatan pendapatan dan masa depan yang lebih terjamin.
"Tahniah Kerajaan MADANI, tahniah PMX, teruskan memacu Malaysia ke arah kemakmuran yang adil dan menyeluruh," katanya lagi.





