Isu Rohingya: Rakyat tempatan perlu diutamakan berbanding pelarian
- Suara Keadilan

- 11 hours ago
- 2 min read

Keutamaan perlu diberikan kepada kepentingan rakyat dan negara Malaysia dalam menangani isu pelarian Rohingya.
Menurut mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (gambar), walaupun wujud rasa simpati terhadap nasib etnik tersebut yang ditindas junta tentera Myanmar namun aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat tempatan tidak boleh diketepikan.
"Saya memang simpati dengan warga Rohingya tetapi saya lebih sayangkan warga dan negara Malaysia," katanya dalam muat naik di media sosial.
Beliau berkata, bantuan wajar diberikan sekiranya golongan pelarian itu mematuhi undang-undang serta menghormati norma masyarakat tempatan namun jika sebaliknya mereka tidak perlu diberikan simpatan berlebihan.
"Sekiranya mereka beradab dan akur aturan, kita sedia membantu. Tetapi jika mereka menjadi beban dan menambah masalah, lebih baik dikembalikan.
"Dalam Islam pun ada adab menerima tetamu dan berhak menghalau tetamu bila tidak menghormati dan ambil hak tuan rumah," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengkritik peranan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang menurutnya perlu lebih memahami kebimbangan rakyat tempatan berhubung isu tersebut.
"Patut SUHAKAM berperanan juga mengajar mereka tentang undang undang dan adab, bukan suruh orang simpati tetapi dalam masa yang sama menjadikan warga Malaysia pula macam pelarian dan takut hidup di negara sendiri atas sikap mereka (pelarian) yang bermasalah dan tidak berakhlak," ujarnya.
Mengulas lanjut, Fakhrulrazi turut mencadangkan agar komuniti antarabangsa memainkan peranan lebih aktif dalam mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian Rohingya.
Beliau mencadangkan supaya badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kerjasama Islam mempertimbangkan penempatan khas bagi pelarian tersebut.
Katanya, kalau dahulu Empayar British telah meletakkan warga bermasalah ke Australia, rasanya pihak antarabangsa juga boleh memikirkan penempatan pelarian Rohingya yang bermasalah agar mereka lebih terjaga dan mampu mengubah nasib mereka sendiri.
"Mungkin pihak Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu dan OIC boleh membantu," katanya lagi.




Comments