Isu Rohingya: Cadang wujudkan kem pelarian khas
- Redzuan Shamsudin

- Jun 11
- 1 min read

Kerajaan digesa mengambil langkah segera dalam menangani isu warga Rohingya di negara ini, termasuk menyediakan kem pelarian khas bagi menempatkan mereka.
Menurut mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar, langkah tersebut penting bagi memastikan golongan berkenaan tidak bergerak bebas seperti rakyat tempatan, sekali gus memudahkan pengurusan dan pemantauan.
"Untuk tindakan segera dan penyelesaian jangka pendek, saya mencadangkan pihak kerajaan menyediakan kem pelarian Rohingya dan tidak membenarkan mereka bergerak bebas seperti orang awam di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mencadangkan agar peruntukan daripada UNHCR dimanfaatkan bagi menguruskan kebajikan dan penempatan golongan tersebut.

Dalam pada itu, beliau menegaskan tindakan tegas perlu dikenakan terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang, selain usaha penghantaran pulang ke negara asal atau penempatan semula ke negara ketiga perlu dipercepatkan.
"Tindakan tegas kepada mereka yang melanggar undang-undang wajib dilaksanakan dan dalam masa sama usaha menghantar pulang ke Arakan, kem pelarian di Bangladesh atau ke negara ketiga perlu dibuat segera sebelum masalah semakin parah," ujarnya.
Fakhrulrazi berkata, kelemahan dalam kawalan kemasukan pendatang tanpa izin tidak seharusnya ditambah dengan ruang kebebasan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat tempatan.
"Saya menjangkakan kebanyakan mereka tidak berniat untuk pulang, sebaliknya mahu menetap di negara ini. Cukuplah dengan kelemahan yang kita ada dalam mengawal kemasukan PATI dan jangan ditambah masalah sehingga menjejaskan keselesaan serta keselamatan warga sendiri," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan rakyat mahukan tindakan segera daripada kerajaan dalam menangani isu tersebut.
"Rakyat mahu tindakan segera, bukan sekadar teori tanpa pelaksanaan. Kelewatan bertindak hanya akan menyebabkan kerajaan dipersalahkan," kata beliau lagi.




Comments